Followers

Monday, December 14, 2015

Najib boleh pilih, nak jatuh terletak atau jatuh terhempas

Apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir yang UMNO itu sudah terbalik semakin nampak kebenarannya. Kita lihat sahaja telatah Presidennya dalam Perhimpunan Agung yang baru selesai petang semalam. Beliau menuduh Dr Mahathir telah memecah-belahkan UMNO sedangkan isu yang berbangkit adalah isu yang beliau lakukan sendiri. Persoalan tidak satu pun dijawab tetapi beliau mengakui dirinya di pihak yang benar.

Beliau tidak berani menyaman WSJ kerana berita tentang skandal 1MDB dan yang berkaitan. Tidak terasa malu pula apabila tidak berani untuk menyaman New York Times atau Sarawak Report yang melaporkan semua tindakan Najib yang tidak betul pada pandangan akhbar tersebut. Tuduhan tidak berjawab tetapi yang bersalah Dr Mahathir pula. Kenapa tidak berani menyaman akhbar-akhbar tersebut jika beliau berada di pihak yang benar dan kenapa menyalahkan Dr Mahathir pula. Dr Mahathir bukan keseorangan, malahan jutaan rakyat Malaysia menunggu-nunggu bila Najib akan bersara.

Hishammudin berkata Muhyiddin sepatutnya meminta maaf kerana menyentuh isu 1MDB. Yang belum menunjukkan dan membuktikan ia tidak bersalah ialah Najib sendiri. Selagi tiada jawapan dari Najib tentang isu 1MDB dan derma politik sebanyak RM2.6 billion itu, Najib tetap tidak dapat lari dari persepsi buruk yang beliau menerima wang sebanyak itu secara haram dan sekali gus tidak melayakkan beliau secara etikanya menjadi pemimpin negara.

Sebuah negara berdaulat tidak boleh dipimpin oleh pemimpin yang telah terjejas imejnya di mata masyarakat dunia. Pendeknya, yang melakukan kesalahan meminta yang menegur untuk memohon maaf pula. UMNO sudah terbalik. Yang salah dikatakan benar, dan yang menegur dan tidak terlibat dengan isu kesalahan itu diminta memohon maaf pula atas sebab memecah-belahkan parti. Yang menyebabkan isu ini menjadi besar ialah kerana Najib mahu beliau terlepas tanpa diambil tindakan di atas segala kesalahan beliau. Maka diterbalikkan isu dengan meminta Muhyiddin memohon maaf pula.

Sesungguhnya ketakutan Najib kepada rakyat sudah jelas dengan cara beliau mengupas isu yang besar terhadap beliau. Beliau seorang yang besar dan beliau takut kepada orang ramai kerana beliau tahu apa kesalahan beliau. Najib ibarat Gajah. Gajah adalah haiwan yang sangat besar, belalainya pun besar dan panjang tetapi ia takut dengan semut.

Najib bertindak menggertak mereka yang tidak bersalah. Najib mahu bertindak terhadap mereka yang sayangkan parti dan negaranya dan mereka yang tidak dituduh seperti tuduhan yang beliau hadapi. Najib jelas sudah tertutup hijabnya untuk melihat kebenaran dan beliau sedang bergelumang dengan elemen racun hidup yang berbisa ia itu ‘Greed. Anger. And Foolishness’. Najib sudah hanyut dalam ketidak-jujurannya dan juak-juaknya sedang melakukan apa sahaja untuk menegakkan benang basah Najib.

Apa pun selagi beliau tidak menjawab dengan jelas tentang isu 1MDB, lebih-lebih lagi tenat isu RM2.6 biilion itu, Najib tidak terlepas dari menghadapi hukuman rakyat kali ini. Najib boleh pilih untuk terjun seorang diri atau membawa UMNO itu terjun bersamanya ke lembah yang sangat dalam itu.

Najib boleh pilih samada untuk jatuh terhempas atau jatuh terletak. Sekarang pilihan itu ada pada dirinya sendiri.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.