Beliau seorang pemimpin Umno yang telah membuktikan kesetiaan pada parti, yang berbeza dengan kesetiaan pada tuan Presiden
Selaku Setiausaha Agung Umno, Ku Nan selayaknya bingung dengan tindak-tanduk Muhyiddin, tetapi Rahman nampaknya terlepas pandang sesuatu yang penting. Apa yang akan berlaku sekiranya Muhyiddin menghadirkan diri ke taklimat itu? Bayangkan sahaja ketegangan yang mungkin berlaku. Apakah soalan-soalan yang akan diajukan? Bagaimana kalau dia menyangkal penjelasan Najib?
Tentunya keadaan seperti itu tidak membantu taklimat itu, Najib dan Muhyiddin. Kedua-duanya nampaknya lega tidak perlu bersua muka.
Bukankah Najib juga yang mengatakan dirinya mengigil marah bila mendengar ucapan Muhyiddin dan Mahathir? Apa perasaan Najib sekiranya beliau terpaksa menatap wajah lelaki yang meludah ke mukanya di satu acara yang dihadiri kira-kira 1,000 orang dan disiar secara langsung? Pasti menggegarkan!
Adakah itu yang Umno mahukan?
Ada beza antara aduan berasas dan hal remeh-temeh. Lagipun, Muhyiddin sedia maklum akan penjelasan Najib berhubung soal 1MDB dan derma yang disalurkan ke akaun peribadi. Mungkin juga, penjelasan itulah yang mendorong beliau menyuarakan penentangan terhadap tuan Presiden. Sekiranya beliau membuat keputusan setelah memikirkan isu berkenaan, kehadirannya hanya akan mengaibkan Najib, tanpa perlu beliau menuturkan sepatah perkataan pun.
Muhyiddin nampaknya tidak mahu bergelumang dalam permainan politik taraf rendah.
Rakan-rakan parti mungkin beria-ria mahu melabel beliau pengkhianat, tetapi Muhyiddin tetap mengelak menyerang mereka secara peribadi. Sikap yang menyegarkan.
Ada beza antara kesetiaan pada Najib dan kesetiaan pada parti, dan Muhyiddin nampaknya telah menunjukkan bahawa kesetiaan pada parti itulah yang menyebabkan beliau mengambil tindakan yang dianggap sebagai suatu pengkhianatan terhadap tuan Presiden.
Apakah menyeru penyingkiran seseorang presiden itu menyamai pengkhianatan terhadap parti? Melabel seruan itu sebagai suatu pengkhianatan sebenarnya karut dalam suasana demokrasi kerana pemilihan parti yang menentukan samada tuan Presiden kekal atau tersungkur, itupun selepas beberapa siri rundingan dijalankan dan budi bertukar tangan.
Umno mahu Muhyiddin spaya berdiam diri, bersuara mengikut saluran yang betul, memahami tempatnya dalam parti, supaya berputus asa, dan menurut perintah. Tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah, Muhyiddin mendahulukan prinsip mengatasi hidup membisu dikelilingi keselesaan, sikap yang wajar dihormati. Apapun yang berlaku pasca PAU 2015, Muhyiddin Yassin telah membawa dirinya dengan perilaku yang selayaknya ada pada seorang pemimpin.
Maka, pemimpin-pemimpin pro-Najib barangkali perlu menghargai ketidakhadiran Muhyiddin pada Selasa malam. Sebaliknya, rakyat yang perlu mengadu kerana tidak dapat mendengar penjelasan Najib.
FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.