Followers

Friday, December 4, 2015

Kerana kritik Najib, Zaid didakwa ganggu orang awam Ho Kit Yen


zaid,najib

Peguam menegaskan tulisan blog Zaid ditujukan kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak tetapi anakguamnya itu didakwa kerana "mengganggu orang awam".

KUALA LUMPUR: Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim didakwa hari ini (Jumaat) berhubung ucapan beliau yang dikatakan menyeru penyingkiran Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Beliau didakwa kerana “membuat penyataan yang jelik” dengan “niat untuk menyakitkan hati orang lain”, dibawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pendakwaan itu berhubung-kait dengan ucapan bertajuk “Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad” yang dimuatnaik di laman blog peribadi pada 2 September.

Sekiranya didapati bersalah, seksyen itu membawa hukuman denda RM50,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari satu tahun, atau kedua-duanya.

Zaid mengaku tidak bersalah apabila pendakwaan dibacakan kepada beliau dalam Bahasa Malaysia di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jagjit Singh Bant Singh.

Selepas pendakwaan dibacakan, peguam Zaid Puravelan Muthu Raman membantah saman itu.

“Bahagian mana dalam teks itu (ucapan Zaid) yang dikatakan telah menimbulkan ‘gangguan’? Keseluruhan teks atau hanya perkataan ‘jelik’? soal Puravelan.

“Pendakwaan itu menyatakan beliau (Zaid) mempunyai niat untuk mengganggu orang awam. Tetapi keseluruhan teks itu ditujukan kepada seorang individu iaitu Perdana Menteri.”

Hakim Jagjit menetapkan 22 Januari sebagai hari sebutan untuk mendengar bantahan awal.

Ikat jamin tidak dikenakan kerana kes ini merupakan kes saman.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Ladin. Zaid turut dibela peguam Amarjit Singh Sidhu.

Bulan lepas, polis menyiasat Zaid untuk tulisan blog yang sama tetapi atas dakwaan hasutan.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Zaid memberitahu pendakwaan ini merupakan pengalaman pertamanya.

“Saya berharap pendakwaan ini pendakwaan terakhir keatas rakyat yang mengkritik Perdana Menteri. Mengarut kiranya jika rakyat didakwa kerana mengkritik,” kata beliau.

Beliau menambah rakyat berhak bersuara sekiranya pemimpin membelakangi undang-undang (subvert the law).

“Pemimpin harus takut kepada rakyat,” kata Zaid. “Kita harus berani ambil risiko dan bersuara.”


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.