Followers

Monday, December 21, 2015

Gempa kuat di Kalimantan, Tawau bergegar FMT Reporters


kalimantan-earthqukae

Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau juga menerima laporan keretakan bangunan (Projek Perumahan Rakyat Sri Apas) Batu 8, Jalan Apas.

PETALING JAYA: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter melanda Kalimantan, Indonesia pada 2.47 pagi Isnin menggegarkan beberapa daerah di pantai timur Sabah termasuk Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu.

Menurut portal Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu ialah 3.6 darjah utara dan 117.6 darjah timur, kira-kira 33km ke utara Tarakan dan 96km barat daya Tawau.

Ekoran laporan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau segera mengadakan pemantauan di sekitar bandar Tawau.

Ketuanya, Mohd Razali Ag Ahmad mengesahkan pihaknya menerima maklumat kecemasan itu pada 2.51 pagi.

“Kami juga mendapat laporan mengenai keretakan bangunan (Projek Perumahan Rakyat Sri Apas) Batu 8, Jalan Apas, namun pemeriksaan mendapati tiada keretakan serius sebaliknya hanya tampalan semen terkupas sedikit pada satu daripada bahagian di bangunan ” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Dalam pada itu, gegaran kuat juga dirasai di kuarters bomba dan siren kecemasan terpaksa dibunyikan untuk memastikan penghuni mengosongkan bangunan.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di Semporna, Nurdin Ajirul pula berkata dia terbangun ketika merasa rumahnya bergoyang.

“Saya ingat anak terlanggar pintu bilik. Saya juga hairan mengapa piring (pinggan) dalam almari berlaga antara satu sama lain dan berbunyi. Anak-anak saya ketakutan,” katanya.

Pada 7 Jun 2013 gempa bumi sederhana berukuran 4.9 pada skala Richter yang berkedudukan 31 km di barat laut Tarakan dan 118 km barat daya Tawau berlaku pada 3.23 pagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.