Followers

Sunday, December 6, 2015

Azmi Sharom: Undang-undang Syariah tidak terkecuali dari kritikan FMT Reporters


Prof.-Madya-Azmi-Shahrom

Fatwa hanya pendapat. Tiba-tiba sekarang ia bukan sahaja undang-undang, tetapi tidak boleh diusik dan tidak boleh dipersoal.

KUALA LUMPUR: Undang-undang syariah tidak terkecuali dari kritikan, tegas profesor undang-undang Azmi Sharon mencabar undang-undang yang melarang kritikan terhadap fatwa.

Beliau berkata sikap terhadap Islam semakin “supremacist” tanpa imbang balas.

“Hanya satu versi yang betul. Sekiranya kamu tidak bersetuju dengan versi itu, kamu akan dihukum, kamu berdosa,” katanya, sambil menekankan perlunya pandangan yang pelbagai supaya orang-ramai memperoleh gambaran menyeluruh.

Azmi menyatakan peri penting kebebasan bersuara dengan berkata: “Fatwa hanya pendapat. Tiba-tiba sekarang ia bukan sahaja undang-undang, tetapi tidak boleh diusik dan tidak boleh dipersoal” dan menegaskan sekatan samada dalam bentuk undang-undang atau sosial dikenakan keatas kebebasan bersuara.

“Mengapa tidak boleh mengkritik undang-undang yang memberi kesan keatas kamu? Apa yang menjadikan undang-undang itu lebih istimewa dari akta kontrak, ataupun rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara?” soalnya di forum Islam dalam Demokrasi Berperlembagaan anjuran sekumpulan penjawat awam bersara yang dikenali sebagai G25.

Azmi mengambil contoh kes seorang penerbit buku, Mohd Ezra Said, yang menurut beliau “penting dan sangat menakutkan” kerana implikasi undang-undang syariah dikenakan keatas kebebasan bersuara tetapi tidak mengikut perlembagaan.

Ezra, anak kepada ahli politik Zaid Ibrahim, akan diadili di Mahkamah Syariah kerana menerbitkan terjemahan buku karangan Irshad Manji “Allah, Freedom and Love”. Buku itu terlarang kerana dikatakan bertentangan dengan undang-undang Islam.

“Undang-undang yang mengharamkan terjemahan berbahasa Melayu — Bahasa Inggeris tidak apa, kerana Melayu beragama Islam nampaknya tidak baca buku berbahasa Inggeris — dibuat oleh dewan undangan negeri. Itu perundangan syariah maka ia tidak mengikut perlembagaan. Hanya Parlimen yang boleh menggubal undang-undang yang boleh menyekat kebebasan bersuara,” kata Azmi.

“Kemudian mereka kata tidak, isu ini bukan mengenai kebebasan bersuara, tetapi undang-undang keatas sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang Islam.”

Azmi berkata semua undang-undang tertakluk pada Perlembagaan, termasuk yang digubal dibawah kuasa negeri, seperti undang-undang tanah. Walaubagaimanapun undang-undang syariah negeri berbeza bagi orang Islam kerana kerajaan negeri seolah-olah diberi kuasa penuh untuk menggubal apa sahaja undang-undang yang mereka mahu, asalkan ia melindungi rukun-rukun Islam.

Perlindungan yang diberi Perlembagaan seolah-olah khayalan, kata beliau, sekiranya undang-undang syariah boleh digunakan untuk memintas perlindungan-perlindungan undang-undang.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.