Salah seorang anak Orang Asli yang terselamat selepas hilang hampir 2
bulan lalu menceritakan pengalaman sayu melihat adiknya hanyut dibawa
arus deras Sungai Perias akibat tergelincir ketika cuba meneguk air di
situ.
Norieen Yaakob, 10, menurut laporan Mingguan Malaysia hari
ini, hanya mampu memerhati adiknya, Haikal, 8, berlalu pergi kerana
kekuatan dirinya sendiri sangat terbatas ketika itu untuk
menyelamatkannya.
Itulah kali terakhir dia dilaporkan melihat
wajah adiknya yang sebelum itu mengadu terlalu lapar dan dahaga selepas
berhari-hari tidak menjamah makanan.
Gambar Norieen Yaakob, 10, yang disimpan keluarganya dan
ketika ditemui di akar pokok besar, kanak-kanak ini terlalu kurus
Akhbar itu melaporkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira 14 hari
selepas Norieen, Haikal, Linda Rosli dan Sasa Sobrie, serta 3 rakan
lain, Mirsudiar Aluj, 11, Juvina David, 7, dan Ika Ayel, 9, melarikan
diri dari Sekolah Kebangsaan Tohoi pada 23 Ogos lalu.
Pengalaman
itu diceritakan Norieen yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan
Zainab II, Kota Baru kepada ibunya, Midah Angah, 40, dan bapa
saudaranya, Herry Boy Angah, 20, malam tadi.
Norieen dan Mirsudiar ditemui pada sebuah pokok besar yang mempunyai lubang kecil di tanahnya.
Akhbar itu memetik Herry berkata, anak saudaranya menceritakan
kepadanya bagaimana mereka mahu berpatah balik ke kawasan sekolah tetapi
membatalkan hasrat itu kerana keletihan.
"Mereka bertiga
kemudian berjalan kaki sehingga ke lokasi Norieen serta Mirsudiar
ditemukan semalam (Jumaat), kira-kira 3 kilometer dari SK Tohoi, dan
berteduh di kawasan tersebut.
"Bagaimanapun, beberapa hari lalu,
Ika sudah tidak mampu bertahan akibat kebuluran dan meninggal dunia di
sisi Norieen dan Mirsudiar.
"Kedua-dua kanak-kanak itu menjaga mayat Ika sehingga ditemukan semalam," Herry dilaporkan berkata.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, kanak-kanak malang itu tidak nampak
kelibat pasukan penyelamat meskipun operasi mencari dilakukan di
kawasan tersebut.
"Ketika operasi mencari, kanak-kanak ini
mungkin terselit di celah akar pokok sehingga menyukarkan pihak berkuasa
menemukan mereka.
"Pada masa sama, bunyi arus deras sungai itu
juga menyebabkan kanak-kanak ini tidak mendengar jeritan pasukan
penyelamat," katanya.
Sementara itu, ibu Norieen, Midah berkata,
anaknya itu ada melarang adiknya daripada turun ke sungai tersebut
tetapi kanak-kanak itu tetap berdegil.
Norieen, Mirsudiar dan 5
yang lain dikatakan melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut
dimarahi guru selepas ditangkap berenang di sungai berhampiran tanpa
kebenaran.
Selain Norieen dan Mirsudiar yang ditemui dalam
keadaan selamat tetapi amat lemah dan mengalami dehidrasi yang teruk,
polis setakat semalam, menemui 4 lagi mayat atau tulang serta tengkorak
daripada rangka tubuh kanak-kanak.
Kecuali Sasa dan Ika, 2 mayat lagi masih belum dikenal pasti.
ADDIN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.