Followers

Monday, August 24, 2015

Siasatan terhadap RM2.6 bilion dalam akaun Najib masih berjalan, kata SPRM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan siasatannya terhadap derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih diteruskan.

Ia menegaskan yang ia sebelum ini hanya menyebut, melalui kenyataan akhbar bertarikh 3 dan 5 Ogos, yang dana RM2.6 bilion itu merupakan sumbangan daripada penderma berasal dari Timur Tengah dan bukannya dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Merujuk kepada kenyataan beberapa pihak berhubung isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri, SPRM menafikan Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed atau SPRM sendiri, pernah mengeluarkan kenyataan yang siasatan berkenaan isu dana RM2.6 bilion itu ditutup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sehubungan itu, SPRM menekankan siasatan berkenaan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion masih berjalan."

Selain dana RM2.6 bilion itu, agensi itu juga meneliti SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, yang kini milik Kementerian Kewangan.

SPRM semalam mengeluarkan notis meminta 3 individu, ahli perniagaan hartawan Low Taek Jho, bekas pengarah urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan pengarah Datuk Suboh Mohd Yassin tampil membantu siasatan.

SPRM berkata, tiada pihak sepatutnya membuat sebarang kenyataan yang akan mengelirukan orang ramai dan menimbulkan persepsi negatif terhadap agensi itu.

Najib baru-baru ini mendakwa beliau sudah dibersihkan SPRM berhubung wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya, yang beliau ulangi, diterimanya bagi pihak Umno, atas kapasiti sebagai presiden, dan bukan untuk kegunaan peribadinya.

Penyokongnya, termasuk anggota Kabinet, bersatu menyokong perdana menteri, mengatakan tiada salahnya wang disalurkan ke dalam akaun peribadi beliau kerana beliau salah seorang pemegang amanah bagi Umno.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata semalam, penderma itu membuat sumbangan kepada Umno supaya ia boleh mengalahkan DAP, yang didakwanya dibiayai Yahudi, sementara ketua bahagian Umno Kuantan Wan Adnan Wan Mamat berkata, RM2.6 bilion itu disumbangkan kepada Najib oleh Arab Saudi kerana menghargai pendiriannya menentang militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Tuduhan berhubung RM2.6 bilion dalam akaun Najib itu pertama kali didedahkan laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai, memetik dokumen daripada penyiasat Malaysia.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, beliau dan bendahari parti itu tahu mengenai kewujudan RM2.6 bilion itu.

The Star Online melaporkan beliau berkata, perkara itu sudah "dijelaskan berulang kali".

"Kami berkali-kali menjelaskan isu ini. Sebagai setiausaha agung, saya sedar mengenainya dan begitu juga bendahari parti," beliau dipetik sebagai berkata dalam ucapannya ketika mesyuarat Umno bahagian Setiawangsa pada Ogos 16. - TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.