Followers

Saturday, August 1, 2015

Hukuman Gantung Kekal


Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, semalam, mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas pengawal keselamatan, La Ode Ardi Rasila yang bersalah membunuh pegawai bank, Norazita Abu Talib, tiga tahun lalu.



Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Aziah Ali dalam keputusan sebulat suara membuat keputusan itu selepas menolak rayuan La Orde.



Turut bersidang bersama Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Abdul Rahman Sebli.



Mahkamah dalam keputusannya berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mensabitkan La Ode bersalah membunuh dan melakukan rompakan dengan melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian Norazita.



Pada 14 Ogos tahun lalu, Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap La Ode selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.






Mengikut pertuduhan, La Ode didakwa membunuh Norazita di dalam bangunan Am-Bank, nombor 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini di antara jam 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.



Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.



Dia turut didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api pump gun dengan niat menyebabkan kematian pegawai AmBank itu pada masa, tarikh dan tempat sama.



Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang turut membawa kepada hukuman mati. - Harian Metro/30/7/15

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.