mais-mualaf
KLANG : Persatuan Kebajikan Mualaf Selangor mendakwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengabaikan saudara baru atau mualaf di negeri berkenaan.
Presidennya, Mikhael Iskhandar berkata, pegawai-pegawai MAIS di Pejabat Agama Islam Daerah Klang tidak melayan mualaf dengan sewajarnya dan terdapat pelbagai karenah birokrasi apabila berurusan.
Mikhael berkata, telah banyak aduan yang diajukan oleh pihaknya mengenai perkara berkenaan seperti menghantar surat rasmi kepada pihak atasan tetapi sehingga kini tidak ada maklum balas yang diberikan oleh MAIS.
Beliau yang mewakili 500 orang mualaf di Selangor berkata, antara masalah-masalah yang dihadapi oleh mualaf adalah mereka tidak dibenarkan untuk bertanya soalan mengenai Islam dengan lebih lanjut dalam kursus yang dianjurkan.
“Ustaz akan memberi respon yang negatif seolah-olah agama Islam tidak boleh disoal dan ini menyebabkan mualaf lebih runsing dan pening mengenai pemahaman terhadap Islam.
“Adakah mualaf tidak berhak mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Islam? Kenapa harus pengajaran Islam dilengahkan,” katanya yang memeluk Islam sejak Januari lalu.
“Selain itu, cara pegawai MAIS juga adalah biadap dan tidak bersopan santun dalam menjalani tugas semasa menjawab soalan dari mualaf,” katanya.
Dia berkata, jika pendedahan itu tidak diambil tindakan oleh MAIS, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengumpulkan kira-kira 500 orang mualaf di Selangor untuk menghantar memorandum kepada Sultan Selangor untuk mendapat perhatian Baginda.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.