Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini berkata, tindakan tatatertib dan surat tunjuk sebab kepada Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan lapan pelajar lain sangat dikesali.
“Pentadbiran Universiti Malaya perlu menggugurkan dakwaan ke atas pelajar ini jika tidak mahu dilihat sebagai cerminan kepada sikap Barisan Nasional yang hanya mahu mengawal dan ‘mencuci otak’ mahasiswa.
“Sedangkan sebagai mahasiswa dan generasi baru, mereka seharusnya dipupuk dan dibimbing untuk berfikiran kritikal agar berdiri sama tinggi seiring negara maju dalam usaha pencarian ilmu pengetahuan,” kata Kit Siang pada sebuah forum di Kulai, hari ini.
Semalam, Presiden PMUM Fahmi Zainol dan lapan yang lain menerima surat jawatankuasa disiplin dan berdepan sembilan pertuduhan berhubung himpunan bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, di hadapan Dewan Tunku Canselor.
Antara pertuduhan dikenakan keatas Fahmi ialah menganjurkan perhimpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran naib canselor dan menjalankan urusan yang ‘merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan atau nama baiik universiti’ di kampus.
Perhimpunan ‘Dari UM ke penjara’ yang dianjurkan PMUM 27 Oktober lalu disertai lebih 2,000 mahasiswa dan aktivis, selepas berjaya memasuki pintu pagar utama arah Kuala Lumpur yang dihalang pihak pentadbiran.
Kit Siang dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pentadbiran Universiti Malaya seolah-olah ‘berdendam’ dengan pelajar dan ahli akademik yang mempunyai pandangan tidak sealiran, melalui tindakan mengunci pagar dan menghalang pengucapan awam di dalam kampus.
Tegasnya, langkah tersebut bukan sahaja tidak meningkatkan kedudukan universiti, ia malah mencemarkan reputasi Malaysia di mata masyarakat akademik dan pemerhati antarabangsa.
“Sistem pendidikan kita telah gagal untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai pemikiran yang kritis.
Maka, sudah tiba masanya untuk kita menggalakkan aktivisme mahasiswa yang cakna hal-ehwal negara.
“Mahasiswa adalah golongan yang idealistik, dan generasi muda seperti ini wajar didorong untuk sentiasa prihatin terhadap urusan negara tanpa perlu pengaruh politik kepartian,” kata Kit Siang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.