FAIZAL
memeriksa keadaan kanak-kanak OKU yang ditinggalkan dalam sebuah bilik
kotor dan busuk di Nilai. Gambar kecil, Lola ketika ditemubual wartawan.
Seremban: “Semua orang salahkan saya dan tuding jari ke arah saya
menuduh saya tidak tahu menjaga anak dengan baik, tetapi mereka tidak
tahu kesempitan hidup dan kesengsaraan yang saya alami.
“Saya sayangkan anak saya tetapi saya perlu bekerja dan menyara
kehidupan dia, saya dan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun,”
kata ibu remaja orang kelainan upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan
menyayat hati oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam sebuah bilik
di Flat Semarak, Taman Semarak Fasa 2 di Nilai, semalam.
Remaja malang itu, Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui Pengarah
Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi 6P bersepadu
di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah itu.
Ibu remaja itu yang kini isteri kedua dan mahu dikenali sebagai Lola,
40, berkata, dia bukan meninggalkan anak sulungnya yang menghidap
penyakit celebral palsy itu tanpa jagaan dan tidak diberi makan,
sebaliknya dia mendakwa meninggalkan makanan dalam bekas polisterin
sebelum ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA).
Katanya, waktu kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia tiada masa
menguruskan Muhammad Firdaus dengan baik dan mahu anak lelakinya itu
berdikari.
“Apabila orang lihat keadaan dia, semua orang salahkan saya, tetapi
adakah mereka mahu menjaganya sepanjang ketiadaan saya di rumah. Tiada
siapa yang sanggup menjaganya kerana dia cacat,” katanya sedih ketika
tampil di pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad, di sini,
semalam.
Dia yang berasal dari Sabah berkata, Muhammad Firdaus adalah anak sulung
hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya berusia 53 tahun dan
berpisah sejak 14 tahun lalu sebelum berkahwin lain pada 2004 dan
dikurniakan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun.
Menurutnya, sejak berpisah dengan bekas suami yang berasal dari Tawau,
Sabah, dia tidak lagi berhubung dan tidak tahu di mana bekas suaminya
itu tinggal dan bekerja.
“Saya tidak pernah mendaftar anak saya dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu caranya dan terpaksa meninggalkannya
sendirian kerana bekerja mencari wang,” katanya.
Apabila ditanya mengenai nasib anaknya selepas ini, Lola berkata, dia
sudah membuat keputusan untuk menyerahkan anaknya itu kepada Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bukan saya tidak sayangkan dia, sebab saya sayangkan dia saya membuat
keputusan itu. Saya fikir apa akan jadi pada Muhammad Firdaus jika saya
mati nanti. Ajal maut di tangan Allah SWT, saya tidak tahu jadi saya
perlu bersedia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.