Followers

Sunday, June 22, 2014

Gelatin haiwan termasuk babi halal dimakan - Yusof Al-Qardhawi

Ulama tersohor dunia Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi memberitahu gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan, termasuk di dalam produk makanan setelah ia ditransformasikan menjadi bahan yang lain.

Memetik kenyataan daripada laman rasmi ulama tersebut, beliau menjawab kekeliruan pengguna, terutamanya dari masyarakat Islam berkenaan status halal sesuatu produk yang dicampuri unsur mengelirukan termasuk haiwan tersebut.

"Di sana terdapat perkara yang dilupakan oleh banyak pihak iaitu isu transformasi bahan (perubahan zat). Kami berkata: Apabila sesuatu najis ditransformasikan, ia menjadi suci, iaitu sesuatu bahan itu mungkin pada asalnya adalah babi, kemudian ia bertransformasimenjadi sesuatu bahan yang lain - asalnya ialah babi tetapi ia diambil dan ditransformasikan menjadi sesuatu yang lain - contohnya menjadi sabun.

"Para fuqaha' berkata, contohnya, sesuatu perkara seperti tinja dan sebagainya, apabila ia diambil dan dikenakan api serta dinyalakan, maka abunya adalah halal kerana ia telah menjadi bahan yang lain. 




Mereka berkata: Jika seekor anjing masuk ke dalam takung garam dan mati di dalam takung garam itu hingga garam memusnahkannya, hinggakan apabila kamu mencarinya kamu tidak menjumpainya disebabkan anjing itu sendiri telah menjadi garam, maka garam itu boleh digunakan untuk makan, minum dan segala-galanya, kerana ia telah mengalami transformasi bahan.

"Hukum ditetapkan bergantung kepada `illah (sebab) yang ada dan yang tiada. Maka `illah dalam hal ini ialah ia tidak kembali wujud. 


Oleh itu, apabila daging atau tulang babi telah bertransformasi, - dan saya mendengar daripada saudara kami Dr. Muhammad Hiwari, dan dia adalah antara doktor akademik yang tinggal di German untuk tempoh yang sangat panjang, dan dia mempunyai kajian yang sangat baik dalam hal ini, - dia berkata kepada kamu: 

Kemuncak hal ini adalah, ia boleh diambil dan digunakan sebagai ubat gigi, dan digunakan sebagai sabun, dan digunakan sebagai gelatin (atau jeli) yang asalnya ialah babi, kerana ia telah menjadi sebatian kimia yang baru menyebabkannya tertakluk kepada hukum yang baru (iaitu halal)," ujar Yusuf Al- Qardhawi dipetik sebagai berkata.

Bulan lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury - coklat susu dengan kacang Hazel serta coklat susu dengan badam, dikesan mengandungi DNA babi atau 'porcine'.

Apa yang menjadi persoalan sehingga kini adalah KKM dikatakan membuat ujikaji itu, sehingga terjumpa DNA babi, setelah memilih coklat berkenaan secara rawak di pasaran.

Setelah isu itu mencetuskan kemarahan ramai pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula memainkan peranannya dan membuat ujikaji yang sama namun coklat itu diambil terus dari kilang Cadbury dan bukannya diambil secara rawak dari pasaran, seperti mana dibuat KKM.

Perkembangan terbaru selepas ujikaji yang dilakukan oleh Jakim itu mengesahkan dua produk Cadbury tersebut adalah tiada unsur babi sekaligus halal untuk dimakan.

Meskipun begitu, rakyat Malaysia kini masih berasa was-was berikutan masyarakat terdedah kepada membeli coklat yang sama diambil KKM untuk ujikaji itu dan bukannya produk yang selamat (dari kilang) sepertimana di analisa Jakim.


~ RakyatNews

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.