Followers

Sunday, June 22, 2014

Apa yang kita nak tahu ialah DNA Babi itu halal atau haram?

 

 

 Dr. Maza pulak belasah Ustaz Kazim dan Harussani..

Kenapalah ustaz-ustaz, mufti-mufti dan alim ulama dalam negara kita ni tak boleh capai kata sepakat mengenai isu DNA babi ni..

Sorang kata halal.. muncul sorang lagi pulak kata haram.. lagi sorang pula kata halal pulak.. lepas tu muncul sorang lagi pulak kata yang haram tetap haram..

Akhirnya kita yang kurang arif dalam hukum hakam agama Islam ini yang ternganga-nganga dan tertanya-tanya.. halal atau haram?

Sebelum ini.. pendakwah bebas yang popular menerusi sebuah slot TV yang bertajuk 'Menjadi Bodoh' telah mempertikaikan fatwa Ulama tersohor dunia mengenai isu DNA..

Ulama terkenal dunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang mengatakan gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan, termasuk di dalam produk makanan setelah ia ditransformasikan menjadi bahan yang lain.

Katanya.. hukum melibatkan makanan haram dan halal merupakan isu yang besar dan tidak patut diperkecilkan oleh mana-mana pihak.

"Ni yang terbaru dia kata DNA babi halal dimakan, sebab dah diproses menjadi lain, dah pening kepala dah, dah keluar dah Facebook dah keluar dalam tulisan dia dah," katanya.

Menurutnya lagi, umat Islam harus berpegang teguh kepada ketetapan Islam yang digariskan oleh mazhab yang selama ini menjadi ikutan kepada Muslim di negara ini.

"Keempat-empat mazhab Islam berpegang teguh bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan babi tidak boleh dimakan, setiap benda makanan haram yang masuk dalam badan akan jadi daging.

"Kalau makanan itu makanan haram, nerakalah tempatnya bagi kita, kalau makanan itu halal maka syurgalah tempatnya untuk kita," tambahnya.

Beliau dalam pada itu turut menjelaskan bahawa DNA yang terdapat dalam vaksin yang digunakan terhadap jemaah haji ialah DNA lembu, bukan DNA babi seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Itu kata Ustaz Kazim.. pendapatnya itu disokong pula oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.




Menurutnya, istilah istihalah (proses perubahan zat yang membolehkan bahan-bahan haram berubah menjadi halal) yang diguna pakai sesetengah pihak tidak wajar dijadikan landasan untuk menghalalkan sesuatu perkara, khususnya di negara ini.
"Jangan sewenang-wenangnya bercakap isu ini. Ini isu halal haram. Tambah pula, ia tidak sesuai dipraktikkan di sini.

"Masih banyak (lagi) sumber halal yang masih boleh digunakan oleh umat Islam, jadi isu istihalah tidak boleh digunakan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

"Harus diingat, jika keadaan darurat sahaja, dibolehkan menggunakan bahan haram, contohnya dalam perubatan.

"Seorang pesakit diharuskan mengambil imunisasi yang ada DNA babi dengan tujuan untuk selamatkan nyawanya semata-mata," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat di negara ini khasnya umat Islam supaya mengelakkan diri daripada terdedah dengan benda-benda haram tersebut jika tidak mempunyai kewajipan untuk mengambilnya ~ Sinar Harian

Bagaimanapun muncul pula Dr. Maza mempertikaikan hujjah Ustaz Kazim itu melalui satu 'status' dalam Facebooknya..


Saya terkejut dengan seorang penceramah agama yang dikenali mengulas isu kenyataan al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai kesan DNA khinzir dalam makanan dan bahan yang terdapat secara meluas di dunia hari ini.

Jika kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah yang terdiri dari ramai tokoh ilmuwan antarabangsa, beberapa persidangan Fekah di peringkat antarabangsa dan lain-lain yang mengharuskan itu tidak tahu bahawa babi itu haram.

Bagi menyokong hujahnya, penceramah itu secara 'janggal' menyebut empat-empat mazhab mengharamkan babi. Katanya pula, ulama hanya khilaf tentang kulit babi.

Saya ingin katakan, pertama, sesiapa yang ingin mengulas sesuatu hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas. Jika tidak ia hanya menampakkan kedangkalan diri dalam dunia ilmu yang luas.
 Photo: Gelatin haiwan termasuk babi halal dimakan -  Dr. Yusof Al-Qardhawi

Ulama tersohor dunia Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi memberitahu gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan, termasuk di dalam produk makanan setelah ia ditransformasikan menjadi bahan yang lain.

Memetik kenyataan daripada laman rasmi ulama tersebut, beliau menjawab kekeliruan pengguna, terutamanya dari masyarakat Islam berkenaan status halal sesuatu produk yang dicampuri unsur mengelirukan termasuk haiwan tersebut.

"Di sana terdapat perkara yang dilupakan oleh banyak pihak iaitu isu transformasi bahan (perubahan zat). Kami berkata: 

Apabila sesuatu najis ditransformasikan, ia menjadi suci, iaitu sesuatu bahan itu mungkin pada asalnya adalah babi, kemudian ia bertransformasimenjadi sesuatu bahan yang lain - asalnya ialah babi tetapi ia diambil dan ditransformasikan menjadi sesuatu yang lain - contohnya menjadi sabun.

"Para fuqaha' berkata, contohnya, sesuatu perkara seperti tinja dan sebagainya, apabila ia diambil dan dikenakan api serta dinyalakan, maka abunya adalah halal kerana ia telah menjadi bahan yang lain. Mereka berkata: 

Jika seekor anjing masuk ke dalam takung garam dan mati di dalam takung garam itu hingga garam memusnahkannya, hinggakan apabila kamu mencarinya kamu tidak menjumpainya disebabkan anjing itu sendiri telah menjadi garam, maka garam itu boleh digunakan untuk makan, minum dan segala-galanya, kerana ia telah mengalami transformasi bahan.

"Hukum ditetapkan bergantung kepada `illah (sebab) yang ada dan yang tiada. Maka `illah dalam hal ini ialah ia tidak kembali wujud. 

Oleh itu, apabila daging atau tulang babi telah bertransformasi, - dan saya mendengar daripada saudara kami Dr. Muhammad Hiwari, dan dia adalah antara doktor akademik yang tinggal di German untuk tempoh yang sangat panjang, dan dia mempunyai kajian yang sangat baik dalam hal ini, - dia berkata kepada kamu: 

Kemuncak hal ini adalah, ia boleh diambil dan digunakan sebagai ubat gigi, dan digunakan sebagai sabun, dan digunakan sebagai gelatin (atau jeli) yang asalnya ialah babi, kerana ia telah menjadi sebatian kimia yang baru menyebabkannya tertakluk kepada hukum yang baru (iaitu halal)," ujar Yusuf Al- Qardhawi dipetik sebagai berkata.

Bulan lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury - coklat susu dengan kacang Hazel serta coklat susu dengan badam, dikesan mengandungi DNA babi atau 'porcine'.

Apa yang menjadi persoalan sehingga kini adalah KKM dikatakan membuat ujikaji itu, sehingga terjumpa DNA babi, setelah memilih coklat berkenaan secara rawak di pasaran.

Setelah isu itu mencetuskan kemarahan ramai pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula memainkan peranannya dan membuat ujikaji yang sama namun coklat itu diambil terus dari kilang Cadbury dan bukannya diambil secara rawak dari pasaran, seperti mana dibuat KKM.

Perkembangan terbaru selepas ujikaji yang dilakukan oleh Jakim itu mengesahkan dua produk Cadbury tersebut adalah tiada unsur babi sekaligus halal untuk dimakan.

Meskipun begitu, rakyat Malaysia kini masih berasa was-was berikutan masyarakat terdedah kepada membeli coklat yang sama diambil KKM untuk ujikaji itu dan bukannya produk yang selamat (dari kilang) sepertimana di analisa Jakim.

Anak Sungai Derhaka.
~ RakyatNews
Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah, Persidangan Fekah Perubatan yang berlangsung di Morocco pada tahun 1997 dan lain-lain bukan tidak tahu bahawa babi itu haram. Namun isu yang dibahaskan ialah istihalah yang telah merubah sifat sesuatu bahan.

Para ulama dalam pelbagai mazhab Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini. Isunya, bukan ingin makan seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin memakan coklat, ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan bahan tertentu yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat kimianya.

Adapun kenyataan beliau bahawa mazhab empat mengharamkan khinzir amatlah canggung. Beliau hendaklah tahu bahwa bukan setakat empat mazhab, bahkan semua mazhab termasuk al-Auza'i, al-Thauri, Laith bin Sa'd, Zahiri, Zaidi dan lain-lain semuanya mengharamkan khinzir. Ia ijmak.

Namun, bukan itu isunya. Apa yang dibincangkan isu istihalah. Adapun kata beliau khilaf ulama hanya tentang kulit babi, sebenarnya bukan sahaja tentang kulit babi, tapi juga tentang tulang dan bulu.

Apakah boleh dibuat sesuatu yang bermanfaat, seperti kasut ataupun bone china seperti hari ini ataupun tidak boleh?

Walaupun banyak imam yang melarang perkara itu, tetapi ramai juga para imam yang membolehkan. Contoh boleh lihat nukilan al-Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni yang menyebut beberapa pendapat. Jika kita semak pendapat yang membolehkan itu dipertahankan oleh beberapa tokoh ulama termasuk al-Imam al-Syaukani.

Sebenarnya, masalah istihalah babi ini masalah khilafiyyah. Ada yang membolehkan seperti Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Persidangan Fekah Perubatan di Morocco 1997 dan lain-lain. Ada pula yang mengharamkan seperti Majma al-Fiqh al-Islami di Jeddah, Arab Saudi.

Bukan orang Islam nak disuruh ternak babi, tapi sarjana fekah membincangkan bahan yang berubah tapi asal-usulnya ada kaitan dengan babi. Ini boleh difahami juga seperti rakyat muslim Singapore yang meminum new water iaitu air najis yang telah dirawat menjadi air bersih yang digunakan di Singapore sekarang.

Bukan mereka nak minum najis, tetapi air itu asal bernajis namun telah dirawat dan dibersihkan.

Kita mengingatkan semua pihak, termasuk diri kita bahawa berceramah satu kebolehan yang lain, mungkin ia dibantu oleh kepetahan, jenaka dan lain-lain.

Namun hendak membincangkan isu ilmu hendaklah berasaskan maklumat dan pengetahuan.

Sekali lagi, hal ini khilaf pendapat dalam kalangan ulama.

Setiap orang membaca, meneliti dan mengikut apa yang dia yakin lebih diredhai Allah untuk dirinya. Fatwa ini dibincangkan oleh para sarjana Islam moden sebab bahan berkena kepada banyak produk yang wujud terutama mereka yang hidup di negara minoriti muslim.
 
Sementara sifat Islam itu memudahkan umatnya yang dalam kesulitan. Kita juga perlu ingat hal ini berlaku apabila kita tidak menjadi pengeluar dan asyik jadi pengguna ~ Dr Maza

Apa yang kita nak tahu ialah DNA Babi itu halal atau haram?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.