Timbalan
Presiden PAS Mohamad Sabu, resume rakyatnya tidak perlu banyak
perkataan untuk dihurai. Selain hebat, ialah mengkagumkan.
Di
zaman mudanya, Abang Mat keluar masuk penjara memperjuangkan apa yang
dipercayainya sebagai benar. Ramai orang takut pada ISA, tetapi tidak
pada Abang Mat. PAS adalah wadah perjuangannya, dan tiada apa yang
boleh menyebabkan Abang Mat keluar daripada PAS.
Nama Mat Sabu sudah sinonim dengan PAS. Abang Mat adalah simbol toleransi dan friendliness (mudah bersahabat) bagi PAS.Rakan-rakan bukan Islam cukup menyayanginya. Rakan-rakan seperjuangannya menghayati pengorbanan beliau.
“Cubalah kamu ikut saya seminggu. Tengoklah kamu boleh tahan tak?” begitulah cabaran Abang Mat pada saya selalu.
Memang sukar untuk mengikut jadual Abang Mat. Hanya manusia yang kental seperti beliau boleh menunaikan semua temujanji itu.
Namun, sehebat-hebat Abang Mat, beliau cumalah seorang manusia biasa yang ada kekurangannya.
Seperti para peminat artis pujaan, menyebut mengenai kekurangan Abang
Mat akan menyinggung perasaan orang yang amat menyayanginya.
Membandingkan Abang Mat dengan sesuatu yang lebih baik juga akan
menimbulkan pelbagai reaksi daripada para peminatnya, lebih-lebih lagi
apabila Abang Mat adalah Timbalan Presiden PAS.
Namun, itu lumrah manusia kerana sememangnya ada perkara yang lebih disukai dan ada perkara yang tidak berapa disukai.
Semalam timbul kontroversi seperti yang tertera di atas apabila
Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Mohd Khairudin Aman Razali dalam satu
laporan The Malaysian Insider bertajuk “Timbalan presiden: Mat Sabu
jangan kecil hati, kata ulama PAS” menyebut “Timbalan presiden PAS
sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin yang hebat. Cuma
barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama.”(gambar :Hubungan rapat antara Mat Sabu (kanan) dan Takiri terbukti dalam majlis malam tadi, 5 Oktober, 2013)
Jelas Khairudin mengakui Abang Mat sebagai seorang pemimpin yang
hebat. Cuma – ya ayat selepas ‘Cuma’ selalu membawa maksud berbeza
kepada para pembaca mengikut kesukaannya.
“Cuma barangkali
yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” – ada yang membaca ayat
ini berasa Khairudin kasar dan seolah-olah menghina Abang Mat.
Persepsi itu diperkuatkan lagi apabila ada blogger yang mengulas
perkara itu ke arah sedemikian.
Bagi yang sudah ada persepsi
negatif terhadap Dewan Ulama selepas Multaqa lalu teramat mudah akan
terdorong ke arah mempercayai bahawa Khairudin sedang memperkecilkan
Abang Mat, walau beliau memulakan hujah ayat pertama dengan memuji
Abang Mat sebagai pemimpin yang hebat. Tapi itu telah dilupakan, yang
difokuskan ialah apa yang disebut selepas perkataan “cuma.”
Dalam aspek ini, Khairudin perlu lebih berhati-hati ketika berkata-kata
dan menyedari persepsi negatif yang sedang menyelubungi Dewan Ulamak
PAS Pusat akan menyebabkan kata-katanya terpesong daripada nada sebenar.
“Cuma barangkali yang kurang adalah fakih (mendalam) soal agama” –
daripada lensa biasa tanpa sebarang prasangka, ayat ini tiada unsur
penghinaan pada Abang Mat. Jelas dalam ayat ini, Khairudin tak pasti,
sebab itu perkataan “barangkali” digunakan.
Apa yang cuba
disebut Khairudin ialah ada orang yang lebih fakih soal agama
berbanding Abang Mat. Kenyataan itu sebenarnya tidak salah, malah
sebenarnya hakikat, cuma cara disebut itu boleh disalah tafsir,
terutamanya bagi mereka yang sudah ada prejudis terhadap Dewan Ulamak
PAS Pusat.
Faqih adalah istilah merujuk kepada satu standard
ilmu dalam pengajian Islam melibatkan kefahaman mendalam terhadap teks
al-Quran dan teks al-Hadis berasaskan ilmu-ilmu alat seperti usul fiqh
dan ilmu bahasa Arab yang tinggi sehingga mampu memahami hukum-hakam
Islam secara detail.
Namun, ingin dipertegaskan bahawa tahap
keilmuan "faqih" bukan diukur dengan sijil dan tempat pengajian dan
juga bukan diukur oleh diri sendiri tetapi dinilai oleh orang-orang
berilmu yang lain.
Seseorang yang dikatakan tidak faqih bukan
bererti dia jahil dan tidak tahu hukum-hakam agama untuk amalan
seharian. Cuma ada orang yang lebih baik daripadanya dari sudut itu.
Memandangkan Khairudin sendiri adalah seorang “Dr PhD”, maka ada pula
yang menganggapnya terlalu ego apabila beliau berhujah bahawa Abang Mat
barangkali yang kurang adalah fakih soal agama – seolah-olah kerana
beliau ada PhD maka beliau boleh memperkecilkan pemimpin yang lain yang
tidak setanding tinggi ilmunya apabila berkata “barangkali yang kurang
adalah fakih soal agama.”
Tuduhan itu tersasar kerana
Khairudin tidak berniat begitu, cuma beliau barangkali masih baru dalam
dunia politik dan media persepsi ini untuk berkata-kata jujur dengan
selamat.
Mari kita bersangka baik dan melihat hujah Khairudin dari sudut lain:
“Timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu adalah seorang pemimpin
yang hebat. Dalam soal fakih (mendalam) soal agama, barangkali ada
orang yang lebih hebat daripada beliau.”
Sebenarnya itulah
maksud sebenar Khairudin. Bacalah dari arah manapun, unsur menghina
langsung tiada - maka salah faham terhadap Khairudin juga tidak akan
timbul daripada para peminat Abang Mat.
Lebih-lebih lagi,
dengan peribadi Abang Mat yang hebat dan besar hati orangnya,
sebenarnya tiada kontroversi dalam kata-kata Khairudin.
Tulisan
ini ditulis supaya PAS dapat menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK)
Sungai Limau dengan satu hati dan satu jiwa. Jangan biar polemik
dalaman melemahkan PAS.
PRK Sungai Limau ialah maruah PAS Kedah
dan juga maruah arwah Tan Sri Ustaz Azizan Razak. Oleh itu, PAS tidak
harus dilemahkan lagi kerana sangka buruk dan buruk sangka yang tidak
diperlukan masa ini.
Seperti kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man,
kurangkanlah kenyataan mengenai pemilihan di muktamar, fokuslah pada
PRK Sungai Limau. Walaupun tulisan beliau semalam ditujukan kepada
semua pimpinan tertinggi, tapi para penyokong parti harus juga berhenti
daripada mengulasnya sehingga kemenangan PRK Sungai Limau
dipertahankan.
Selepas itu, ada 20 hari untuk berkempen sebelum
Muktamar. Kempen sehabis-habisnya dalam lingkungan adab dan akhlak
jamaah yang tinggi dengan hanya mempromosikan kebaikan dan kehebatan
pemimpin pilihan sendiri dan bukannya dengan memperkecilkan lawan.
Itu adalah roh Islam yang wajar ditunjukkan PAS kepada rakyat Malaysia.
KedahLanie.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.