Followers

Saturday, July 20, 2013

BERKENALAN DENGAN ANWAR IBRAHIM


Semasa Anwar Ibrahim mulai tertonjol sebagai seorang pemimpin Mahasiswa saya sudah berada di London dan tidak sempat melihat kepimpinannya di Malaysia, walaupun ada juga mendapat berita bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang sangat hebat dan mendapat sokongan meluas dari golongan pelajar.

Tetapi beliau bukanlah dari golongan Mahasiswa kiri yang dipimpin oleh Syed Hamid Ali, Sanusi Osman, Halim Ali, Rohana, Rohani, Syahrom M Dom, dan pimpinan pelajar kiri, saya tidaklah begitu mengikuti perkembangan beliau di tanah air.

Pada suatu hari kami mendapat berita bahawa beliau mahu datang ke London untuk menemui pelajar-pelajar di London dan diantara Persatuan Pelajar yang ingin ditemuinya termasuklah persatuan-persatuan yang duduk dibawah pimpinan kami, pelajar-pelajar kiri di London.  


Tetapi beliau mempunyai rakan-rakan yang lebih luas dari kalangan bekas-bekas MCKK di London pada waktu itu seperti Fauzi Abdul Rahman.  Samada dia menemui Fauzi dan mengadakan perbincangan atau dialog dengan pelajar-pelajar di bawah pimpinan KMUK, tidaklah saya ketahui kerana saya tidak berminat langsung dengan KMUK yang sangat kuat sentimen pro-Melayunya.

Walau bagaimana pun sempatlah kami bertemu dengan Anwar dan dapat mendengar agenda perjuangan beliau yang saya fikir adalah agenda yang munasabah untuk perjuangan dan perpaduan.

Saya hanya dapat mengikuti perjuangan Anwar apabila saya sudah kembali dari London ke Malaysia iaitu semasa beliau ditahan dibawah ISA, secara fizikalnya saya tidak menemui beliau.  Dan pada masa itu kami memperjuangkan supaya beliau dibebaskan dari tahanan ISA.

Semasa itu, kalau saya tidak silap, beliau telah menubuhkan ABIM, dan pada penahanan itu, beratus orang pimpinan pelajar juga disenaraikan untuk ditahan dibawah ISA.  Saya sempat ke Dataran Merdeka semasa para pelajar membuat tunjuk perasaan, dan itulah kali pertamanya saya terhidu semburan gas.

Mungkin kerana pada waktu itu saya masih muda (mungkin) hiduan gas itu tidaklah sebegitu teruk jika dibandingkan hiduan gas semasa beberapa siri BERSIH.  


Gas yang disembur oleh puak jahiliah semasa BERSIH amat kuat dan jika saya tidak disambut oleh rakan-rakan di Masjid Jameq Kuala Lumpur sudah tentu saya terjatuh tergolek ke dalam longkang dan mungkin kepala saya terhantuk di kepala longkang kerana pada waktu itu saya jatuh pengsan.  

Hanya rakan-rakan menyambut saya dan membawa saya ke saluran air paip di Masjid itu dan memandikan saya disana sehingga saya tersedar kembali.

Anwar diberitakan sudah ditahan dibawah ISA dan ramai lagi pimpinan pelajar termasuk Kamarzaman Yaacob, Hishamuddin Rais, Syed Hamid Ali, Bung Selamat dan ramai lagi pimpinan pelajar yang saya sudah lupa nama mereka termasuk pelajar-pelajar bukan Melayu.

Saya menemui kebanyakan mereka ini di Dataran Merdeka, dan saya tidak tahu bahawa mereka itu berada didalam senarai untuk ditahan dibawah ISA.


Saya bawa mereka itu kesemuanya ke Pejabat saya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak jauh dari Dataran Merdeka.  Dan apabila tamat waktu pejabat, saya punggah mereka itu ke rumah saya di SEA Park Petaling Jaya dan mereka tinggal di rumah saya buat beberapa hari.

Didalam perbincangan mereka, mereka mahu melarikan diri ke Negeri Siam dan dari sana akan mengambil langkah yang sesuai.

Saya sempat menegah Kamarzaman Yaacob, kerana dia adik angkat saya, dan juga sekampung dengan saya, Kg Lubok Kawah, Temerloh.  Ayahnya, Pok Kob, sentiasa mengingatkan saya, "Mi, mu tolong jago adik mu, Me tu."


Kamarzaman Yacob ni adalah Pemuda UMNO yang tegar semasa di kampung. Saya amat terperanjat dengan perubahannya dari UMNO kepada perjuangan kiri dengan bukan sahaja menjadi Presiden UMSU tetapi juga Kelab Sosialis semasa di Universiti Malaya.

Bagaimana pun, Kamarzaman tidak mengambil nasihat dari saya, beliau turut bersama-sama rakan-rakannya yang lain menuju ke arah Thailand dan berjaya menyeberangi Sungai Golok.  Entah apa pulak terlintas di hatinya, dia berpatah balik ke Temerloh dan di Temerlohlah beliau ditahan di bawah ISA. Dan diatas budibicara Prof Engku Aziz, beliau dibolehkan mengambil perperiksaan akhir tahun dan berjaya mendapat ijazah pertamannya.

Selepas Anwar bebas dari tahanan beliau bergerak di bawah ABIM yang pada waktu itu amat jelas halatujunya menyokong PAS.  Kalau saya tak silap telah berlaku perbincangan diantara beliau dengan Presiden PAS, Dato Asri Muda bahawa Dato Asri akan mengundurkan diri dari jawatan Presiden PAS dan Anwar akan mengambil alih sebagai Presden PAS jika diperkenankan oleh perwakilan.


Anwar bergerak keseluruh Negara memperjuangkan Islam di bawah ABIM, ramai guru-guru yang tidak mahu berpolitik terlibat dengan ABIM, mereka boleh bergerak didalam Persatuan Belia tetapi tidak dibolehkan bergerak dibawah politik.

Pada waktu itu saya menganjurkan suatu Forum diantara ABIM, Gerakan Belia 4B dan Persatuan Belia (nama tak ingat) yang dipimpin oleh Sanusi Joned.  Yang menjawab berstuju untuk hadir ke Forum di Temerloh itu hanyalah Anwar Ibrahim, manaka Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin, Presiden 4B Malaysia dan Sanusi Joned langsung tidak memberikan respon, maka Forum itu dibatalkan.

Tidak lama kemudian daripada itu saya menyertai PAS, kenapa dan mengapa telah saya terangkan didalam coretan saya yang lepas (sila rujuk kembali).

Mendengarkan berita bahawa Anwar akan menyertai PAS dan diikuti oleh pimpinan ABIM cukup menghairahkan saya.

Malangnya, tiba-tiba Mahathir mengumumkan Anwar menyertai UMNO, bahkan keahlian Anwar didalam UMNO sudah lama kerana keahlianya dibayarkan oleh keluarganya.  Maka bukan sahaja Anwar menyertai UMNO, hampir keseluruhan rakan-rakan ABIMnya yang popular turut menyertai UMNO.

Walau bagaimana pun, PAS juga menghadapi reformasi pimpinan yang dibawakan oleh The Young Turks didalam parti.  Mereka mahukan perubahan.  Mereka pilih Tuan Haji Yusof Rawa sebagai Presiden baru menggantikan Dato Asri dan Ustaz Fadil Nor menjadi Timbalan Presiden manakala Tuan Guru Haji Hadi sebagai Naib Presiden dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Ketua Dewan Ulamak.

Semasa reformasi pimpinan inilah diterima konsep Pimpinan Ulamak didalam parti.

Saya cukup dukacita bahawa Anwar menyertai UMNO dan kami golongan muda didalam PAS mengambil sikap menyerang Anwar dan pada masa itulah teori bahawa kamu tidak boleh membersihkan tong taik dengan memasuki tong yang penuh dengan taik itu.  Ini bererti bahawa UMNO tidak boleh diselamatkan lagi melainkan diubah konsep pemerintahan negara dari sekularisme kepada Islam.

Anwar berjaya dari satu tahap ke satu tahap didalam UMNO.  Pimpinannya didalam UMNO cukup menyerlah, dan Anwar terus mempelopori konsep Islam didalam UMNO sehingga tercetus berbagai institusi Islam di negara ini termasuklah Universiti Islam dan Bank Islam.

UMNO diperingkat Anwar belum menyertai parti itu sudah terumbang ambing kerana rakyat sudah jemu dengan pemerntahan Dr Mahathir tiba-tiba bingkas bangun dengan adanya Anwar di dalam UMNO.  Anwar menjadi pimpinan sanjungan didalam UMNO.

Beliau melangkah kaki dengan menerima pencalonan untuk menentang Datuk Haji Suhaimi diatas jawatan Ketua Pemuda UMNO, dan dengan mudah Anwar mengenepikan Suhaimi.

Pada waktu itu saya sudah menyertai UMNO dan walaupun saya ahli Gerakan Belia 4B saya memihak kepada Anwar (kenapa dan mengapa saya menyertai UMNO, sila rujuk kepada coretan saya yang lalu).

Diatas desakan ahli-ahli peringkat bawah, Anwar akhirnya dicalonkan sebagai calon Timbalan Presiden UMNO, yang menyebabkan Mahathir diletakkan didalam keadaan serba salah.  Tetapi sokongan yang begitu besar terhadap Anwar semacam menyekat air banjir dari kalangan akar umbi tidak akan berjaya.

Akhirnya Tun Ghafar Baba menarik diri dari jawatan Timbalan Presiden, dan Anwar memenangi jawatan itu tanpa tanding.

Tidak semudah itu Mahathir mahu melantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang akhirnya terpaksa juga dilantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana begitulah adat didalam UMNO bahawa Timbalan Presiden UMNO diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, ibarat cerita semut dengan gula.  Pimpinan UMNO peringkat negeri-negeri dan bahagian-bahagian semacam berlumba-lumba mahu menjadi orang kuat Anwar diatas jangkaan bahawa jika Mahathir meletakkan jawatan sudah tentulah Anwar menjadi Perdana Menteri.  Najib Tun Razak adalah orang yang seumpama itu.

Apabila ekonomi Malaysia bergoyang kerana keadaan ekonomi dunia bergoncang, maka di sanalah mula-mula retaknya hubungan antara Mahathir-Anwar kerana Mahathi mahu menyelamatkan golongan korporat yang teruk terancam, manakala Anwar mahu menyelamatkan ekonomi negara, ekonomi rakyat.

Perbezaan dasar ini tidak ada keputusannya melainkan dapat ditentukan siapakan akan menjadi peneraju negara.  Mahathir sangat cepat menghidui keadaan ini dan mengetahui bahawa jika Anwar diangkat oleh bahagian-bahagian menjadi calon Presiden UMNO sudah tentu Mahathir akan tumbang.  


Maka sebelum keadaan itu berlaku Mahathir mengambil tindakan memecat Anwar dari UMNO dan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.  Maka terputuslah Anwar dari masyarakat pimpinan UMNO di semua peringkat.

Bukan sahaja Mahathir memecat Anwar, difitnahkan Anwar dengan berbagai kes jenayah, sehingga Anwar dipukul dengan teruk semasa berada didalam lock-up dan dibiarkan tanpa dibawa kepada rawatan doktor.

Fitnah yang jijik diturunkan oleh Mahathir dan kumpulannya bahawa Anwar meliwat drebar kepada Wan Azizah, dan beliau dikenakan penjara selama 6 tahun, walaupun selepas itu Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Anwar bebas dari tuduhan itu, tetapi setelah 6 tahun Anwar merengkok didalam tahanan.

Sebagai pembelaan kepada tindakan terhadap Anwar ini, kami menyokong penubuhan ADIL yang dipelopori oleh Wan Azizah, dan saya diangkat sebagai Pengerusi ADIL Temerloh, dan didalam pada itu sedang diusahakan supaya sebuah parti politik dapat ditubuhkan.  


Pada waktu itu ada sebuah parti politik di Terengganu yang dorman, dan melalui parti politik inilah dipinda Perlembagaanya dan namanya untuk membolehkan penyokong-penyokong Anwar dari UMNO dan parti-parti politik lain serta badan-badan NGO yang begitu masif menyokong Anwar.

Pada 4 April 1999 jam 10.00 pagi tertubuhlah sebuah parti politik baru bernama Parti Keadilan Nasional di Hotel Renaissanse, Kuala Lumpur.  Penuh sesak Dewan Hotel itu sehingga orang ramai terkeluar hingga ke lobi dan jalanraya. Itulah parti yang dijiwai oleh rakyat dari semua kaum mahu memperjuangkan REFORMASI dan perubahan di Malaysia.

Kehadiran parti baru ini dan dengan kerjasama dengan PAS dan DAP serta PSRM menampakkan bahawa pimpinan Dr Mahathir sudah goyah, UMNO/BN semacam tidak berupaya untuk meneruskan pimpinannya di negara ini apabila pihak Pembangkang mendapat kemenangan besar walaupun UMNO/BN masih dapat mengekalkan pemerintahan.

Keadaan ini berlarutan hingga ke Pilihanraya 2004, tetapi imej Mr Clean, Abdullah Badawi dapat memulihkan UMNO dan PKN hanya dapat pertahankan hanya satu kerusi sahaja di Permatang Pauh.

Walaupun pada masa itu saya masih menjadi ahli UMNO, tetapi saya sudah meluat dengan telatah UMNO.  


Akhirnya apabila Anwar Ibrahim mengadakan ceramah di Sg Gau, saya turut hadir dan duduk jauh dari pentas dan ditempat yang tidak begitu terang; semasa Anwar mahu meninggalkan tempat ceramah beliau memandang ke arah saya dan melaungkan kepada saya, "Suhaimi, please come back!" membuatkan saya benar-benar tersentuh dan saya terpaksa membatalkan hajat saya untuk tidak mahu lagi terlibat dengan politik.

Akhirnya melalui Sdr Ahmad Nizam Hamid dijemputkan Dr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR untuk menerima kemasukan saya kedalam PKR bersama-sama 20 orang rakan saya.

Hubungan saya dengan Anwar bukanlah hubungan yang begitu rapat, hanyalah hubungan antara "I know you and you know me, that's all"  


Tetapi saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kerana semasa saya sakit dahulu Sdr Anwar menghulurkan buah tangannya kepada saya dan didalam keadaan saya sakit sekarang ini pun Anwar juga menghulurkan buah tangannya.  Terima kasih Komrad Anwar.

(...bersambung...)





Lubok kawah.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.