Followers

Tuesday, March 26, 2013

Selangor umum tarikh bubar DUN selepas mesyuarat Pakatan petang ini - Oleh Syed Jaymal Zahiid

KUALA LUMPUR, 26 Mac — Selangor dijangka mengumumkan tarikh pembubaran dewan undangan negeri sama ada petang ini atau pagi esok, lapor akhbar Sinar Harian memetik Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian. 
 Sementara itu The Star melaporkan penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai berkata kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama Parlimen, cadangan yang akan dibuat dalam perbincangan pucuk pimpinan pakatan tersebut petang ini.

Tetapi Abdul Khalid (gambar) memberitahu akhbar berbahasa Melayu itu PR akan menentukan tarikh pembubaran pada hari ini.

"Kita akan tetapkan tarikh dan pengumuman akan dilakukan selepas perbincangan mengenai perkara ini hari ini," katanya lagi.

Lim bagaimanapun berkata, adalah lebih baik negeri-negeri PR membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

"Lebih baik bubarkan DUN yang dikawal Pakatan pada masa yang sama dengan Parlimen. Saya akan cadangkan perkara ini dalam mesyuarat kami petang ini," beliau dilaporkan berkata. 
 DUN Selangor habis mandat oada 21 April, diikuti dengan Kelantan enam hari selepas itu. Pulau Pinang yang dikuasai DAP akan terbubar DUN pada 5 Mei manakala Kedah dibawah PAS terbubar tiga hari sebelum itu.

Abdul Khalid sebelum ini pernah berkata Selangor akan mempertimbangkan untuk membubarkan DUN lebih awal selepas sambutan Chap Goh Meh jika Putrajaya masih belum memberikan petanda jelas pembubaran parlimen pada ketika itu.

Akan tetapi pemimpin PR kemudian berkata mereka menerima cadangan mengadakan pilihan raya serentak, pandangan sama yang dikongsi oleh pemimpin BN.

Cakap-cakap mengatakan Najib mungkin membubarkan Parlimen minggu ini dan mengadakan pilihan raya pada April walaupun sesetengah pemimpin dalam Umno mengatakan Najib akan menunggu Parlimen terbubar dengan sendirinya.

Ini adalah tempoh kedua paling lama semenjak negara menjalani pilihan raya umum dengan sebelum ini adalah tempoh diantara pilihan raya umum ketiga dan keempat pada Mei 1969 dan Ogos 1974.

Pemimpin tertinggi BN akan bermesyuarat pada 18 Mac untuk memuktamadkan senarai 222 calon Parlimen dan 505 calon Dun bagi Pilihan Raya 2013 yang bakal diadakan dalam tempoh sebulan.

Parlimen akan terbubar secara automatik pada 28 April dan pilihan raya mesti diadakan 60 hari selepas itu.


Malaysia Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.