Seorang
ahli perniagaan hari ini membuat laporan polis mendakwa telah dipukul
oleh sekurang-kurangnya empat anggota polis berpakaian preman di Bukit
Sentosa malam tadi.
Menurut
Khoo Gin Seong, 44 (kiri), seorang anggota polis yang dikenali di situ
dengan nama Mansur, telah memukulnya ketika dia sedang minum dan bermain
judi di sebuah kedai kopi di situ pada kira-jam 9 malam.
Khoo
juga mendakwa Mansur, yang dikatakan sering datang di kedai kopi,
mencuri RM1,000 yang menurutnya wang yang dimenanginya dalam permainan
kad.
Khoo
mendakwa Mansur, yang duduk di meja dekatnya, mabuk selepas minum bir
dan tidak senang dengan ahli perniagaan itu yang bercakap kuat.
Ia
mencetuskan pertengkaran, yang berakhir dengan Mansur didakwa memukul
Khoo, dengan bantuan "empat atau lima" individu lain yang didakwanya
dikenali sebagai anggota polis.
Dia mendakwa, kejadian itu disaksikan oleh sekurang-kurangnya empat orang yang berada di kedai kopi itu.
Ahli
perniagaan itu mendakwa dia kemudian dibawa ke balai polis Bukit
Sentosa, di mana dia tidak dibenarkan pergi dari situ sehingga
kawan-kawannya datang dengan membawa "beberapa ratus ringgit" pada
sekitar tengah malam.
Empat
jam kemudian, Khoo pergi semula ke balai polis yang sama untuk membuat
laporan polis, tetapi mendakwa kakitangan di situ enggan menerimanya.
Laporan itu akhirnya dibuat pada jam 4.51 pagi selepas dia dikatakan enggan mengalah.
Dalam laporan tersebut Khoo mendakwa mereka memukulnya hingga gigi palsunya patah dan badannya sakit.
Bercakap
kepada Malaysiakini selepas sidang akhbar mengenai perkara itu di
Rawang, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata Khoo menelefonnya
sekitar jam lapan pagi mengadu mengenai kejadian itu.
Sementara
itu, ketika dihubungi Malaysiakini, balai polis Bukit Sentosa
mengesahkan Khoo telah membuat laporan mengenai perkara itu pagi ini,
tetapi tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut kerana ia dalam siasatan.
-malaysiakini-
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.