Followers

Sunday, June 6, 2010

Sunday, June 6, 2010 Vincent Tan, Umno melopong: Pulau Pinang tetap haramkan judi bola! Versi TheMalaysianInsider Pemuda DAP: Sebab kami bantah le




Versi TheMalaysianInsider

Pemuda DAP: Sebab kami bantah lesen judi sukan

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Sayap Pemuda DAP tetap dengan pendirian menyokong usaha mana-mana pihak termasuk Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ), yang membantah kerajaan meluluskan lesen judi sukan atas alas an langkah itu akan memberi impak negatif kepada masyarakat khususnya generasi muda.
Ketuanya, Loke Siew Fook berkata pendirian pihaknya tetap sama iaitu membantah kelulusan judi sukan dan akan menyokong mana-mana pihak yang membawa matlamat yang sama.

“Kita akan menyokong mana-mana pertubuhan yang mempunyai objektif sama iaitu membantah kelulusan lesen judi sukan.

“Pendirian kita tetap sama iaitu membantah kelulusan lesen judi sukan dan kita tidak sama sekali bersetuju dengan keputusan kerajaan itu.

“Ini kerana kelulusan lesen judi sukan akan menggalakkan lagi aktiviti judi sedangkan sudah terlalu banyak lesen judi yang dikeluarkan.

“Mengapa mesti hendak tambah lagi?” katanya.

Walaupun beliau mengakui sejumlah besar masyarakat Cina terlibat dengan aktiviti perjudian, tetapi itu tidak bermakna mereka bersetuju dengan keputusan terbaru kerajaan pusat.

“Saya percaya mereka juga mahu kerajaan mengawal dan mengurangkan aktiviti perjudian sedia ada sekarang, bukannya menambah bilangan (lesen pertaruhan),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Hasil pungutan suara kendalian The Malaysian Insider baru-baru ini juga menunjukkan majoriti golongan muda daripada kalangan semua kaum utama negara ini membantah tindakan tersebut.

Hampir 77 peratus responden yang ditemui berpendapat bahawa kerajaan tidak wajar melesenkan pertaruhan sukan. Hanya 23 peratus yang bersetuju dengan langkah itu.

Peratusan dua pertiga membantah itu membabitkan pendirian responden Melayu dan Cina manakala seratus peratus responden golongan muda India tidak bersetuju sama sekali dengan langkah kerajaan itu.

Sebanyak 73 peratus dan 77 peratus masing responden Melayu dan Cina tidak bersetuju langkah melesenkan judi sukan.

Mereka berpendapat keputusan melesenkan pertaruhan sukan akan member kesan buruk kepada sukan dan juga masyarakat.

Loke juga menyifatkan tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan akan membantutkan perkembangan sukan negara dan pada masa sama menjadi sukan sebagai satu “alat pertaruhan”.

“Kelulusan lesen judi sukan akan memberikan kesan negatif kepada perkembangan sukan di negara ini terutamanya bola sepak kerana ramai generasi muda hari ini meminati sukan bola sepak.

“Selain itu, ia akan mencemarkan imej sukan itu sendiri apabila menjadi alat pertaruhan oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini,” katanya.

GMJ telah melancarkan Kempen Membantah Judi di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo dekat sini semalam.

Pelancaran kempen tersebut turut disertai 22 pertubuhan bukan kerajaan termasuk Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Persatuan Teras Perpaduan Melayu, Dewan Pemuda Masjid, Angkatan Belia Islam Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia, Satu Nama, Jemaah Islah Malaysia dan Jamaiy.

Turut serta ialah Penggerak Belia Tempatan MPK, Budayawan Bertindak, Seniman Paksi Rakyat, Persatuan Anak-anak Peneroka Felda, Nisa Malaysia, Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia, Persatuan Dharma Sakyamuni, Relawan, Pusat Aduan Rakyat Kempas, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Dewan Pemuda Pusat dan terbaru Pertubuhan Anak Melayu Selangor Darul Ehsan Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Pemuda DAP dan Angkatan Muda Keadilan juga menyokong gerakan tersebut.

Bagaimanapun pemimpin kanan sayap Pemuda DAP tidak hadir petang semalam disebabkan komitmen lain.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat yang juga setiausaha GMJ berkata, pelancaran tersebut sepatutnya turut dihadiri oleh Loke tetapi beliau tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.

“Sepatutnya Loke menyertai pelancaran ini (semalam) tetapi tidak dapat hadir beliau ada urusan lain.

“Pemuda DAP tidak menarik diri dari GMJ cuma Loke ada urusan lain, itu sahaja. Selepas ini Pemuda DAP akan menyertai kita pada aktiviti lain pula,” katanya.

Versi Malaysiakini

Pulau Pinang tetap larang judi sukan

Kerajaan Pulau Pinang tidak akan berganjak daripada keputusannya melarang judi sukan di negeri itu walaupun terdapat rayuan daripada hartawan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Corp.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberitahu satu sidang akhbar hari ini bahawa keputusan itu urusan kerajaan negeri.

Beliau menolak justifikasi Tan bahawa mengharamkan lesen tersebut akan meningkatkan lagi pertaruhan haram dan Lim menyifatkannya sebagai "pandangan peribadi (Tan). Itu haknya."

"Pendirian kita adalah jelas. Ia (judi) adalah keterlaluan dan harus ada pengurangannya," katanya selepas pelancaran Festival Georgetown di Hotel Berjaya hari ini.

Bagaimanapun, tambah Lim, beliau "terbuka" kepada rayuan.

Semalam, Tan yang memiliki syarikat Ascot Sport yang mendapat lesen terebut, berjanji untuk menderma lebih setengah bilion ringgit untuk tujuan kebajikan.

Tan juga menegaskan bahawa langkah menghalalkan judi pertaruhan sukan, akan membantu menangani kegiatan pertaruhan haram.

Tan dilaporkan berkata, beliau akan "merayu dan terus merayu" kepada kerajaan negeri Pakatan berhubung larangan tersebut.

Sementara itu Lim pula berkata beliau belum sebarang rayuan, tetapi mengesahkan bahawa surat rasmi telah dikeluarkan untuk memaklumkan kepada Ascot mengenai larangan tersebut.

Beliau yakin Ascot akan mematuhi keputusan kerajaan negeri mengenai perkara itu.

Menjawab soalan, Lim berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk memantau aktiviti taruhan haram judi sukan.

"Jika ada pertaruhan haram berlaku, ia menjadi tugas (agensi) penguatkuasaan dan polis," tambahnya.

Beliau menambah, pertaruhan melalui telefon dan internet adalah di bawah dalam bidang tugas Telekoms, dan bukan kerajaan negeri.

"Anda harus bertanya kepada perdana menteri tentang hal ini, bukan saya," katanya

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.