Followers

Tuesday, March 30, 2010

Korporat turut sokong jayakan Kedah Sejahtera

oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

SUNGAI PETANI – ‘Kedah Sejahtera’ yang menjadi slogan kerajaan negeri Kedah bukan sahaja satu komitmen pihak pentadbran negeri, malah turut disokong oleh pelbagai pihak termasuk dari kalangan korporat.

Bersama hasrat tersebut, dua syarikat bumiputera yang mengeluarkan produk minyak pelincir kenderaan telah memperuntukkan bahagian khas daripada hasil jualan mereka untuk disumbangkan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini.

Dana amal oleh MaxCare Success Sdn Bhd (MCS) telah dilancarkan secara rasmi oleh Exco kerajaan negeri, YB. Dr Ismail Salleh dalam satu majlis di Hotel SP Inn, di sini.Berucap pada majlis itu, YB. Dr Ismail menyentuh mengenai realiti kehidupan masyarakat Melayu yang mempunyai sifat dengki antara satu sama lain tetapi kurang tolong menolong termasuk dalam bidang perniagaan.

Sedangkan katanya, perniagaan merupakan sunnah Baginda Nabi SAW yang kini orang bukan Islam dilihat lebih berjaya dalam perniagaan kerana mempraktikkan amalan perniagaan Islam.

“Berniaga adalah satu bentuk muamalat yang disyariatkan dalam Islam, justeru Islam menggalakkan umatnya untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

“Islam sangat menggalakkan umatnya menjalankan aktiviti perniagaan untuk kepentingan dan hubungan sesama manusia, sepertimana zakat yang kita keluarkan bagi membantu mereka yang memerlukan,” jelas beliau

.Oleh itu, beliau memuji usaha yang diambil oleh MCS dan berharap dana itu dapat dikembangkan kepada golongan miskin di masa akan datang.Manakala menurut Pegawai Eksekutif MCS, Raja Mohd Noh Mohd Hamzah, pembentukan dana itu sebagai wakaf tunai MCS, sumbangan jariah MCS khususnya untuk pendidikan Islam dan dakwah hingga akhirnya kepada kemaslahatan umum.

“Kami (MCS) jadikan hasil keuntungan sebagai amal jariah kepada SAR dengan tujuan pendidikan Islam dapat dikembangkan serta SAR akan melahirkan para pendakwah yang akan bergelandang di tengah masyarakat dan memimpin kembali kepada Islam.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada orang ramai marilah sama-sama kita melakukan jariah sebagai sumbangan untuk Islam melalui pembelian produk minyak pelincir MCS dan syorkan kepada kenalan,” ujar beliau.Pada majlis itu, MCS turut menyerahkan cek sumbangan kepada wakil dari beberapa SAR yang telah disampaikan oleh YB. Dr Ismail.

Dalam perkembangan lain, Khalifa Lube Enterprise telah mengadakan pelancaran serentak produk minyak pelincir Khalifa Motor Oil dan Dana Pendidikan Islam.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB. Dr Hamdan Mohamed Khalib di Madrasah Zubaidiyah, Merbok.

Dalam ucapannya, YB. Dr Hamdan memuji usaha syarikat tersebut, walaupun beliau maklum bahawa keuntungan yang diperolehi oleh syarikat tersebut tidak seberapa, iaitu hanya RM2 dari setiap botol jualan minyak pelincir.


Beliau turut menyeru agar semua pihak berlumba membuat kebajikan sebagai bekalan bertemu dengan Allah dan segala sumbangan peribadi yang dilakukan dengan ikhlas pasti mendatangkan kepuasan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.