Followers

Friday, October 30, 2009

PAS SELANGOR: "Siasat Pembocor Rahsia Parti"

PAS Selangor hari ini menggesa parti itu turut menyiasat pembocor "rahsia parti" kepada umum, selain isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali. Mesyuarat khas jawatankuasa pusat parti itu malam tadi memutuskan PAS Selangor dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin berhubung dakwaan Dr Hassan masih terlibat dengan isu tersebut. Menyokong keputusan mesyuarat khas itu, setiausaha perhubungan PAS negeri Mohd Khairuddin Othman turut mendesak jawatankuasa disiplin menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat tuduhan terhadapnya jika didapati ia tidak benar. "Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti.
"Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di Selangor," katanya dalam satu kenyataan. "Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat parti seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog." Dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Mohd Khairuddin berkata perkara yang dikelaskan sebagai rahsia itu termasuklah "apa yang terjadi dalam mesyuarat parti."
"Ia melibatkah ahli yang membocorkan apa yang berlaku dalam mesyuarat parti. Saya maksudkan mesyuarat badan perhubungan negeri, sebab ia adalah rahsia," katanya.
Ditanya sama ada "penuduh" yang dimaksudkan itu merupakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri yang membangkitkan isu itu di blognya, Khairuddin berkata:
"Tidak. Kenyataan itu dibuat secara umum. Boleh jadi sesiapa sahaja yang membuat tuduhan."
Tindakan disiplin berhubung isu rundingan PAS-Umno, yang berlarutan lebih setahun sehingga mencetus konflik berpanjangan, dibuat susulan desakan tegas Nik Aziz untuk mengadakan muktamar khas. Menulis seminggu lalu, tokoh besar PAS itu mendesak sedemikian untuk membincangkan "beberapa kerat pemimpin bermasalah", sehingga membawa kesan kemerosotan undi parti itu, seperti pada pilihan raya Bagan Pinang awal bulan ini. Selain Dr Hassan, nama-nama yang disebut di Blog Tok Guru yang dianggap bermasalah itu termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali. Berikut kenyataan penuh PAS Selangor:

PAS Selangor ingin merujuk kepada keputusan mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009 di Pejabat Agung PAS. Pendirian PAS Selangor adalah seperti berikut:
PAS Selangor mengalu-alukan kesediaan PAS pusat untuk menangani kemelut yang berlaku dalam PAS sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009. PAS Selangor juga menyambut baik keputusan untuk menolak EGM (mesyuarat agung khas) dan seterusnya menyelesaikan masalah dalaman melalui siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti. Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri Selangor bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti. Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di negeri Selangor. Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog. Bagi meninggikan prinsip-prinsip al-'adalah yang ditetapkan oleh Islam, PAS Selangor ingin menekankan jawatankuasa disiplin parti hendaklah juga menyiasat orang yang membuat tuduhan dan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka sekiranya tuduhan tersebut tidak benar kerana mencetuskan suasana yang tidak stabil dalam parti dan seterusnya merosakkan imej parti. Merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan, kami ingin menegaskan bahawa ahli-ahli PAS Selangor di semua peringkat telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan PAS negeri sebagaimana yang telah diputuskan melalui mesyuarat khas badan perhubungan PAS negeri Selangor yang bertarikh 27 September 2009. PAS Selangor menyeru kepada semua ahli-ahli parti agar menghormati jawatankuasa disiplin parti di dalam menjalankan tugasnya dengan tidak membicarakan isu ini sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai. PAS Selangor seterusnya menyeru kepada ahli-ahli PAS di Selangor agar bertenang dan membiarkan proses siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti selesai sepenuhnya. Semua ahli-ahli PAS di Selangor mestilah menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YB Tuan Guru Presiden.

Mohd Khairuddin Othman
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.