Followers

Tuesday, December 15, 2015

Penghargaan Raja Zarith Sofiah Kepada Pasangan Yang Menjaga Almarhum Tunku Jalil


''Mereka juga menangis sepertimana keluarga kami menangis'' - Raja Zarith

KUALA LUMPUR : Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, hari ini mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kata-kata semangat mereka berikutan kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Jalil.

Menerusi laman Faceboknya, Raja Zarith turut memberi penghormatan kepada pasangan, Amy dan Sabrina yang begitu ikhlas dalam menjaga anak kesayangannya, Almarhum Tunku Abdul Jalil, ketika baginda bertarung dengan kanser hati, tahap 4.

Menurut Raja Zarith, Amy dan Sabrina telah menjaga Almarhum Tunku Abdul Jalil sejak baginda didiagnos dengan kanser hati sehinggalah hari Almarhum mangkat.

“Keluarga kami sesungguhnya amat terhutang budi kepada Amy dan Sabrina.

“Mereka jugalah yang memastikan Almarhum mengambil semua ubat-ubatannya.

“Mereka jugalah yang tidur pada masa-masa yang tidak menentu kerana Almarhum akan santap pada lewat malam atau kadang-kadang, sebelum subuh.

“Mereka jugalah yang akan bersama Almarhum di semua hospital apabila Almarhum dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan.


“Mereka jugalah yang berjalan bersamanya ke mana sahaja Almarhum berangkat.

“Mereka jugalah yang tahu pakaian mana yang Almarhum mahu gunakan, kasut yang mana, topi atau 'beanie' yang mana.

“Mereka jugalah yang mengemaskan biliknya. Mereka tahu di mana barang barang berada,“ tulis Permaisuri Johor di laman Facebooknya,

Raja Zarith berkata walaupun baginda mendesak mereka untuk mengambil cuti dan meluangkan masa dengan anak-anak masing-masing tetapi pasangan itu enggan sambil menegaskan bahawa anak-anak mereka berada di bawah jagaan yang baik.

“Mereka hanya sekali sekala akan keluar makan bersama anak-anak mereka apabila ada orang lain yang menemani Almarhum.”

Menurut Raja Zarith, sementara baginda merasai keperitan kehilangan anak lelakinya, pasangan itu yang menjaga Almarhum turut merasai kehilangan yang sama.

“Mereka juga merasai yang sama. Mereka juga menangis sepertimana keluarga kami menangis,” katanya.

Oleh itu, Permaisuri Johor itu mengucapkan terima kasih kepada mereka atas kasih sayang mereka dan ikhlas dalam menjaga Almarhum.

“Kami hanya dapat berdoa dan memohon agar Allah merahmati mereka berdua dengan kebahagiaan, kesihatan, dan kehidupan yang indah bersama keluarga mereka sendiri pada masa depan.”

- astroawani

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.