Followers

Saturday, December 26, 2015

Dr Asri bimbang rakyat hilang keyakinan terhadap sistem keadilan Khairil Ashraf


Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ia dibimbangi apabila rakyat mengambil langkah sendiri untuk membela diri daripada dizalimi 

PETALING JAYA : Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin melahirkan kebimbangannya terhadap rakyat yang mula hilang keyakinan dengan sistem keadilan dalam negara ini sehingga mereka mula bertindak sendiri.

Menurutnya, kejadian membakar lori-lori bauksit di Kuantan baru-baru ini merupakan satu petanda yang perlu dipandang serius.

“Jika hal ini berterusan, lalu merebak maka satu negara tidak terkawal lagi. Rakyat bawahan akan berkeyakinan bahawa hanya mengambil undang-undang di tangan sendiri sahaja yang dapat membela diri daripada dizalimi,” katanya menerusi status terbarunya di Facebook.

Bekas Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu turut bersimpati terhadap nasib penduduk di Kuantan yang menerima kesan daripada aktiviti perlombongan bauksit yang dilakukan pihak tertentu bagi mendapatkan keuntungan.

“Setiap pihak berhak untuk berniaga dan membuat keuntungan dengan syarat tidak menzalimi pihak yang lain. Mementingkan keuntungan sendiri sehingga menyakiti pihak lain adalah satu kezaliman.

“Orang lain membuat untung, rakyat bawahan mendapat derita. Penguasa hendaklah sedar bahawa urusan pengurusan di dunia ini tidak berakhir di sini, tetapi akan dibawa ke mahkamah Allah pada Hari Kiamat kelak,” katanya.

Tegasnya, kerajaan tidak sewajarnya mementingkan golongan atasan sehingga menyebabkan rakyat bawahan menderita dan merasa diri mereka tidak terbela.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan bertindak segera untuk mengatasi masalah bauksit di Kuantan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.