Followers

Thursday, December 3, 2015

Apakah “Nothing 2Hide” berulang pada PAU2015 Razali Awang


najib_mahathir_muhyiddin_600

Tun M telah menyatakan kesudian untuk hadir ke PAU 2015 dan jika ia menjadi kenyataan jutaan mata tertumpu kepada pertemuan beliau dengan Najib

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 dilihat begitu banyak sensasi, kontroversi dan publisiti walaupun tiada pemilihan jawatan parti.

Wadah perhimpunan terbesar pemimpin parti politik orang Melayu yang akan berlangsung 8 hingga 12 Disember ini menjadi teka- teki terhadap kedudukan orang teratas dalam parti khususnya nasib Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan ramai lagi.

Persoalan yang bermain di benak fikiran apakah PAU 2015 akan membawa satu pembaharuan untuk mencari penyudah dan titik persefahaman di kalangan pemimpin parti.

Orang Melayu ternanti-nanti apakah lagi drama yang akan berlaku selepas ini dan ia menjadi semakin menarik apabila bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan kesudian untuk hadir sekiranya dijemput. Tegasnya beliau masih ahli dan sayangkan parti.

Seakan sejarah beberapa bulan lalu akan berulang sekiranya Tun M datang ke PAU kali ini dan bersemuka dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Masih segar di ingatan kehadiran beliau di program “Nothing 2Hide” sebelum ini yang sepatutnya turut dihadiri Perdana Menteri. Kehadiran Tun menyebabkan ia terpaksa dibatalkan dan kononnya atas alasan keselamatan, Najib dinasihat supaya tidak datang.

Pada kali ini, bertempat di lokasi yang sama di PWTC, apakah akan berlaku lagi kejutan sekiranya Tun M dijemput datang. Lensa kamera, pengamal media akan sabar menunggu untuk merakam serta mencatat detik pertemuannya dengan pemimpin nombor satu UMNO dan negara.

Mengenalinya sebagai negarawan, semangatnya amat tinggi dan tidak akan menghampakan permintaan khususnya daripada suara bawahan. Pasti beliau akan datang. Bahkan jika tidak dijemput sekalipun terdapat kemungkinan Tun M akan bertandang.

Apa yang pasti, jika diundang, beliau akan berada di barisan hadapan dan sama sekali tidak akan diberi ruang untuk bercakap tetapi percayalah sepatah perkataan yang terpacul daripada mulutnya akan menjadi inti pati berita. Sama ada sensasi atau tidak ia bergantung kepada persepsi.

Fokus media akan tertumpu terhadap dirinya. Pastinya jika detik itu menjadi kenyataan, Tun M akan menggunakannya sebagai wadah untuk meluah apa yang terbuku terhadap nasih parti yang pernah diterajunya.

Ramai yang tertunggu-tunggu kritikan dan luahan beliau yang melihat UMNO kini terlalu banyak masalah dan kepincangan berbanding 12 tahun lalu.

Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin tersisih dan diibarat seperti tunggul pada PAU kali ini, kumpulan yang tidak sebulu dengan Najib mengharapkan ‘keajaiban’ Tun M selaku orang lama untuk bersuara.

Apapun kita tunggu detik itu nanti, mungkinkah antara Tun M dan Najib akan bersemuka? Hanya masa yang akan menentukan.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.