Followers

Sunday, November 22, 2015

Ustaz Miqdad Lapor Polis, Diserang Anak Pemimpin PAS


Pemimpin Amanah Terengganu dakwa diserang anak pemimpin PAS

Ketika Parti Amanah Negara (Amanah) meningkat popular, pemimpin akar umbinya di kubu kuat PAS di Terengganu mendakwa diserang anak pemimpin parti Islam itu.

Ketua Amanah Marang Miqdad Zakaria memberitahu The Malaysian Insider, bapanya membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan keluarganya selepas seorang pemuda, anak kepada seorang pemimpin PAS melakukan ugutan di perkarangan rumahnya.


Miqdad, anak saudara kepada isteri presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang percaya, pemuda berkenaan datang untuk menyerangnya.

"Ketika itu saya tiada di rumah," kata Miqdad yang juga timbalan ketua Pemuda Amanah Terengganu kepada The Malaysian Insider. Bapa kepada Miqdad, Zakaria Abdul Rahman menulis dalam laporan polisnya menceritakan seorang pemuda yang juga anak seorang pimpinan PAS Terengganu datang ke rumahnya di perkarangan Masjid Rusila.

Nasih Ulwan, pemuda yang didakwa menyerang keluarga Ust Miqdad

"Saya memberitahu beliau anak saya tiada di rumah. Kemudian lelaki itu menjerit dengan sekuat hati dengan mengatakan perkataan 'munafik' dan menyebabkan beberapa jiran saya lain turut terdengar jeritan itu," kata Zakaria dalam laporannya di Balai Polis Marang.

Laporan polis yang dibuat Ketua Amanah Marang Miqdad Zakaria selepas seorang pemuda, anak kepada seorang pemimpin PAS melakukan ugutan di perkarangan rumahnya. – Gambar The Malaysian Insider, 21 November, 2015.

"Selepas itu lelaki tersebut terus beredar dari rumah saya untuk mencari anak saya. Saya bimbang akan keselamatan saya dan ahli keluarga saya. Saya takut terjadi apa-apa di kemudian hari."

Dalam respon melalui Facebook, Miqdad bagaimanapun memaafkan pemuda berkenaan dan berharap kejadian seperti itu tidak berulang lagi.

"Ana harap apa yang berlaku kita selesai dengan cara yang baik. Ana maafkan Ustaz Muhammad Nasih Ulwan.

"Lepas ni cukuplah tunjuk akhlak yang tak baik. Minta jasa baik Ustaz Zakaria Dagang jaga elok-elok Nasih… Ana terpaksa Report Polis untuk jaga keselamatan mak ayah ana… maafkan ana," tulis Miqdad.

Akan tetapi Setiausaha Pemuda Amanah Terengganu Mohd Sufian Mat Ali memaklumkan, ancaman terhadap pimpinan di negeri itu menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Sufian berkata, ketika laporan polis itu dibuat ayah Miqdad, iaitu sekitar jam 1.15 tengah hari tadi, sekali lagi kediaman pemimpin Amanah itu didatangi orang sama dan turut mengeluarkan ancaman yang sama.

Ancaman berunsur politik ini, katanya, turut diterima Ketua Pemuda Amanah Terengganu Hasbie Muda pada Khamis, 19 November lalu dari individu yang sama.

"Pemuda Amanah Terengganu kesal dengan kejadian yang berlaku ini kepada 2 pimpinan pemuda Amanah, seolah-olah dirancang pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan perkembangan Amanah di Terengganu," katanya.

Pemuda Amanah Terengganu menasihatkan semua ahli agar berhati-hati dalam menerangkan agenda parti kepada masyarakat dan sekiranya mendapat ancaman keselamatan, hendaklah segera melaporkannya kepada pihak polis. – TMI.

ULASAN GB

Gejala samseng memang sudah berakar umbi dalam PAS sejak muktamar PAS yang lalu. Sebelum ini GB sudah ulas:

Gejala budaya samseng semakin menjadi-jadi di dalam PAS dan lebih memalukan ia dilakukan oleh kumpulan yang mendakwa diri mereka pro-ulama dan bergelar "ustaz". Semasa di Muktamar PAS yang lalu sudah ada unsur samseng di dalam PAS, sekumpulan "50 gagak hitam" yang meninggalkan dewan semasa Timbalan presiden berucap dan ada kumpulan yang memboo semasa AJK PAS Pusat Hanipa Maidin berucap. Apakah ini akhlak Islam yang ditonjolkan oleh kumpulan yang mendabik dada menyatakan kononnya mereka pro-ulama, pro-MSU, pro Presiden?

Selepas daripada tindakan keluar muktamar dan mengeboo ucapan penangguhan seorang AJK PAS Pusat, mereka sekali lagi membuat kacau dengan sekumpulan pemuda kononnya pro-ulamak berbadan besar yang telah mengepung Safwan Anang, Pengarah Eksekutif LENSA berhampiran bangunan pejabat PAS. Safwan bukan saja dikepung malah beliau diugut akan dipukul.

Kemudian, kereta Mohd Hatta diserang dan dibakar, Dr.Dzulkefly Ahmad ditumbuk di waktu subuh hari.

Kesemua budaya berkenaan adalah budaya samseng dan budaya liar yang jauh dari akhlak Islamiah ... tetapi tiada sebarang tindakan diambil hanya semata-mata kerana mereka kononnya kumpulan pro-ulamak.

Kini dengan penubuhan AMANAH, lagi bertambah mereka yang sakit jiwa. GB mendapat tahu bahawa ada pemimpin PAS Terengganu mendakwa Nasih Ulwan itu berpenyakit mental (munkin itu sebagai alasan untuk menjustifikasikan perbuatan dan tindakan anak pemimpin PAS Terengganu itu).

Sebenarnya, jika benar dakwaan itu sudah ramai rupanya ahli PAS yang terkena penyakit mental semenjak penubuhan AMANAH.

Buktinya, lihat saja di media-media sosial seperti facebook, whatsapps, twitter, instagram dan sebaagainya, perhatikan bahasa yang digunakan oleh ahli-ahli PAS yang dikatakan "wala" dan istiqamah"... mereka tidak segan silu memparkan akhlak-akhlak keji dan buruk seperti mencaci-maki malah mencarut... 
 
Malah di blog GB ini, jika GB melulusterbitkan komen-komen mereka sudah pasti semua akan terperanjat besar meliaht akan kelakuan buruk mereka. Itu sebab mengapa untuk tidak mengaibkan mereka, banyak komen-komen sedemikian tidak dapat dilulusterbit...

Semakin hari semakin terdedah wajah PAS yang sebenar yang dikatakan menggunakan konsep kepimpinan melalui ulama. Hukum kebenaran dan keadilan berjalan... Berkali-kali sudah GB katakan.... PAS sedang menuju kehancurannya kerana tidak lagi berpegang kepada akhlak Islam... Islam sudah tinggal hanya pada nama partinya sahaja, sedangkan akliah, akhlak dan tindakan sudah jauh dari Islam...


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.