Followers

Thursday, November 12, 2015

Skandal YaPEIM bukti agensi kerajaan disalahguna Khairil Ashraf


nowTidak hairan apabila betapa banyak sekalipun institusi atas nama Islam ditubuhkan bagi membantu Muslim di negara ini, umat Islam di negara ini tetap tidak terbela.


PETALING JAYA : Pendedahan National Oversight and Whistleblowers (NOW) berhubung Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) membuktikan kecenderungan agensi kerajaan disalahgunakan untuk kepentingan individu.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari berkata, ia juga menunjukkan satu lagi bukti daripada banyak bukti lain bagaimana dana awam diseleweng untuk politik naungan.

Menurutnya, lebih malang lagi apabila agensi YaPEIM merupakan yayasan yang dimandatkan untuk membantu orang Islam di Malaysia dan sebahagian daripada wang dana agensi terbabit hasil sumbangan orang ramai.

“Pendedahan ini mengingatkan kita kepada kes penggunaan duit Lembaga Tabung Haji untuk membeli sebidang tanah pada harga RM188.5 juta daripada syarikat 1MDB yang ditimbuni hutang, lantas memberikan keuntungan atas angin sebanyak RM184 juta kepada 1MDB.

“Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain pernah didakwa menggunakan wang zakat Wilayah Persekutuan untuk membiayai kos guaman mereka,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu turut percaya, sekiranya semua agensi dan yayasan serupa disiasat, lebih banyak lagi penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa akan dijumpai.

“Maka, tidak hairanlah apabila betapa banyak sekalipun institusi atas nama Islam ditubuhkan bagi membantu Muslim di negara ini, umat Islam di negara ini tetap tidak terbela.

“Jelas, nama agama Islam di negara ini sering dicemari oleh institusi dan agensi agama yang bukan sahaja menyeleweng dana dan tidak menjaga kebajikan umat, malah lebih berminat untuk mengawal moral masyarakat atau menganjurkan program ‘keagamaan’ semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, dia mencadangkan agar kerajaan bukan sahaja menjelaskan dakwaan penyelewengan terbabit, tetapi perlu segera merombak semula pengurusan YaPEIM.

Katanya, ini bagi membolehkan yayasan itu diurus secara profesional dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkannya dengan baik dan bukan menjadi sumber habuan serta naungan politik semata-mata.
Sebelum ini, NOW mendakwa wang daripada YaPEIM telah digunakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin pada Mei lalu.

NOW turut mendakwa jumlah elaun untuk pemimpin Wanita UMNO Kelantan dan keluarganya di YaPEIM mencecah hampir RM1 juta setahun.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.