Followers

Thursday, November 12, 2015

Shafie dukacita siasatan 1MDB, RM2.6 bilion ‘dilambatkan’ Khairil Ashraf


shafie-apdal_1mdb_600_1Pihak yang terlibat menyelesaikan dua isu perlu mengambil tindakan tegas bagi menamatkan krisis keyakinan dan pentadbiran terburuk dalam sejarah Malaysia.

PETALING JAYA : Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini giliran Datuk Seri Shafie Apdal mempertikai kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan siasatan terhadap 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

Katanya, tindak-tanduk melambatkan proses penyiasatan amat mendukacitakan apabila pasukan penyiasat dirombak, ahli-ahlinya dipecat atau ditukar jabatan malah di dalam keadaan tertentu ada yang dinaikkan pangkat untuk digantikan dengan ahli-ahli yang baharu.

Beliau berkata, keadaan itu telah menambahkan kekalutan dan memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap keikhlasan kerajaan dalam menyelesaikan dua isu tersebut.

“Krisis keyakinan yang sedia ada hanya dapat diselesaikan jika kebenaran dipertemukan.

“Sepertimana yang dititahkan oleh Majlis Raja-Raja, kebenaran hanya boleh diraih jika kepimpinan dan badan badan kerajaan menyempurnakan amanah secara telus, berkredibiliti dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 7 Oktober lalu, Muhyiddin membangkitkan persoalan mungkinkah ada tangan ghaib yang cuba menutup kesalahan pihak-pihak tertentu yang menyebabkan siasatan 1MDB hampir tergendala.

Beliau berkata, pada awalnya kerajaan kelihatan serius menyiasat bagi menyelesaikan kemelut itu tetapi kemudian menjadi makin perlahan dan kini hampir tergendala.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna menambah, pihak yang terlibat menyelesaikan dua isu perlu mengambil tindakan tegas bagi menamatkan krisis keyakinan dan pentadbiran terburuk dalam sejarah Malaysia.

Beliau turut menyokong titah Majlis Raja-Raja Melayu pada 6 Oktober lalu bahawa sekiranya isu tersebut tidak ditangani dengan segera dan saksama, pemasalahan itu mampu menggugat ekonomi, kemakmuran dan keselamatan negara Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya dengan sepenuh hati menjunjung dan menyambut baik titah Majlis Raja-Raja Melayu tersebut. Ia merupakan satu-satunya nasihat terpenting Majlis Raja-Raja kepada kerajaan berdasarkan kesulitan dan situasi semasa yang dihadapi sekarang.

“Lebih membimbangkan bila tempoh penyiasatan telah diumumkan untuk diselesaikan hanya di dalam masa tiga hingga enam bulan yang akan datang,” kata Shafie.


FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.