Followers

Saturday, November 21, 2015

Saya berikrar pertahankan kedaulatan Sabah – Nurul Izzah Faiz Zainudin


Nurul

Terdapat pihak yang sengaja membuat tuduhan liar dengan mengaitkan gambar tersebut kononnya dia menyokong percerobohan Sultan Sulu di Sabah.

PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar tampil memberi penjelasan berhubung penyebaran gambar yang menunjukkan dia bersama Puteri Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram.

Dia mengaku berjumpa dengan Puteri Sultan Sulu, tetapi turut disertai delegasi PKR untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentigan di Filipina pada 9 November lalu termasuk Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Mengulas lanjut, Naib Presiden PKR itu berkata, terdapat pihak yang sengaja membuat tuduhan liar dengan mengaitkan gambar tersebut kononnya dia bersekongkol dengan bapa Jacel yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu yang mempunyai kedaulatan di tanah Sabah.

Malah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bertegas, dia berikrar menyokong mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

“Saya ingin tegaskan sokongan saya dalam mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Apa-apa cadangan sebaliknya adalah tuduhan liar semata-mata yang tidak berasas dan berniat jahat,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, dia juga telah diraikan dalam satu majlis anjuran Majlis Hal Ehwal Filipina dan Asian Institute for Democracy, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.

“Mereka yang menentukan senarai pemimpin yang kami temui,” katanya.

Katanya, selain Jacel Kiram yang menghadiri majlis tersebut turut hadir ialah Bekas Gabenor dan Ahli Kongres Batangas, Hermilando Mandanas, Ahli Kongres, Regina Reyes dan Silvestre Bello, Dekan Undang-undang, Amading Valdez, bekas ahli kabinet Romy Nery dan bekas Setiausaha Kehakiman, Wencie Andanar serta kakitangan Naib Presiden Filipina dan Datuk Bandar Manila.

Terdahulu, Pengarah Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan mendesak Izzah supaya memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran tindakannya yang didakwa menyokong pencerobohan Sultan Sulu di Sabah dua tahun lalu apabila memuat naik gambar bersama Puteri Sultan Sulu.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.