Followers

Monday, November 23, 2015

Persidangan UMNO akan dibuat secara tertutup -Tun M Khairil Ashraf


Tun M

Dr Mahathir mendakwa perwakilan telah diberi amaran supaya tidak menghebohkan perkara berkenaan.

PETALING JAYA : Perwakilan Mesyuarat Agung UMNO pada bulan hadapan dikatakan dilarang daripada membahaskan perkara-perkara tertentu khususnya yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam dakwaannya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, persidangan parti itu juga akan dibuat secara tertutup kepada orang ramai di mana tidak semua dari ucapan perwakilan akan disiarkan.

“Hanya ucapan Presiden sahaja akan disiar. Sepatutnya (Tan Sri) Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden akan membuka persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Amaran sudah diberi supaya ahli UMNO tidak akan bercakap berkenaan perkara ini. Apakah jenis Mesyuarat Agung UMNO ini,” soalnya dalam entri terbarunya di blog chedet.cc.

Kata Dr Mahathir lagi, usaha gigih juga sedang dijalankan untuk menyekatnya daripada berjumpa dengan ahli UMNO serta orang ramai.

“Dewan di mana mesyuarat boleh diadakan yang dihadiri oleh saya tidak boleh didapati kerana semua pemilik takut didera oleh kerajaan.

“Ada iklim ketakutan yang menghalang segala kegiatan yang bersangkutan dengan mengkritik kerajaan. Ia seolah-olah menjadi jenayah yang tidak tertulis.

“Tetapi dakwaan dibuat kononnya ini negara demokrasi. Sesiapa yang cuba sabotaj demokrasi Malaysia boleh dikenakan penjara hingga 15 tahun. Tetapi sebenarnya yang mensabotaj demokrasi Malaysia ialah kerajaan sendiri,” tegasnya.

Menurutnya, pelbagai jenis tekanan telah digunakan secara tidak demokratik terhadap mereka yang mengkritik parti dan kerajaan.

“Ada yang disoal siasat oleh polis. Ada yang dimasuk dalam tahanan tanpa berasas kepada undang-undang. Ada yang diugut akan kehilangan kontrak dan lain-lain.

“Kata pepatah berani kerana benar; takut kerana salah. Apakah kerana salah yang takut sangat 1MDB dan RM2.6 bilion dibincang,” sindirnya.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.