Followers

Monday, November 23, 2015

87.6 peratus tanah wakaf di Selangor tidak diwarta... - FMT


tanah-wakaf

LKAN mendapati tanah wakaf yang didaftar di bawah MAIS tidak lengkap dan tidak dikemaskini
SHAH ALAM: Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 mendapati pengurusan hartanah wakaf di Selangor adalah kurang memuaskan dengan 87.6 peratus daripada hartanah wakaf yang didaftarkan sebagai hak milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak diwartakan.

Laporan itu menyebut, pengauditan yang dijalankan antara April hingga Julai 2015 mendapati, tanah wakaf di negeri itu tidak dimanfaatkan dengan sebarang aktiviti selain terdapat kes pencerobohan.

Ketua Audit Negara turut mendapati, daftar hartanah wakaf di Selangor tidak lengkap dan tidak dikemaskini di samping kelewatan dalam melaksana serta menyelesaikan istibdal.

“Sebanyak 27.5 peratus hartanah wakaf masih belum didaftarkan hak milik MAIS,” kata laporan audit itu.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), badan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal wakaf di Selangor supaya melengkapkan data hartanah wakaf serta menyelesaikan peletakan hak sebagai hak milik MAIS dan seterusnya mewartakan hartanah wakaf setiap tahun.

PWS juga disyorkan mengadakan perancangan yang spesifik dan menyeluruh bagi memastikan hartanah wakaf dibangun serta dimanfaatkan sejajar dengan niat pewakaf selain memantapkan pemantauan terhadap keseluruhan hartanah wakaf.

Mengikut maklum balas yang diterima daripada PWS, hartanah wakaf lewat didaftarkan hak milik atas nama MAIS kerana kelulusan permohonan pindah hak milik di Pejabat Daerah dan Tanah, pelepasan hak sekatan di Pihak Berkuasa Negeri dan pengecualian duti setem di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengambil masa untuk diselesaikan.

Sementara itu, laporan audit yang dijalankan ke atas PNSB Development Sdn Bhd (PDSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mendapati, secara keseluruhan, prestasi kewangan PDSB bagi tahun 2012 hingga 2014 adalah tidak memuaskan dan perlu dimantapkan.

Ia menyebut hasil laporan audit yang dijalankan Mei hingga Julai 2015 mendapati, kerugian sebelum cukai PDSB meningkat secara mendadak pada tahun 2014 iaitu sejumlah RM19.94 juta (621.2 peratus) berbanding tahun 2013 selain mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM10.74 juta pada tahun 2014.

“Mengikut penyata kewangan beraudit PDSB bagi tahun berakhir 2014, syarikat ini mencatatkan liabiliti semasa melebihi aset semasa dengan sejumlah RM62.64 juta dan juruaudit bertauliah telah menyuarakan kewujudan ketidakpastian yang ketara terhadap keupayaan syarikat ini untuk beroperasi secara berterusan,” kata laporan itu.

Justeru, PDSB disyorkan menambah baik prestasi pelaksanaan aktiviti pembangunan hartanah dengan memastikan projek diuruskan dengan lebih cekap serta memberi pulangan dalam tempoh ditetapkan bagi menjamin keupayaan kewangannya.

PDSB juga diseru mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan tadbir urus korporat syarikat bagi memastikan kecemerlangan operasi syarikat selain, dapat menambah baik prestasi kewangan dan memberi pulangan yang berterusan kepada PNSB serta Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Laporan audit bagaimanapun menyebut, hasil audit yang dilaksanakan antara Mac hingga Julai 2015 mendapati, pelaksanaan perolehan di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah memuaskan daripada segi proses pemilihan dan lantikan kontraktor serta pembekal.


FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.