Ahirudin berkata, sekatan itu bukan sahaja akan menyekat akses media kepada Umno, tetapi akses parti itu untuk penerbitan dan penyiaran, serta akses kepada penonton yang lebih ramai.
KUALA LUMPUR, 26 November:
Wartawan terkenal dan berpengalaman menggesa Umno membenarkan media membuat liputan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015, bulan depan.
Ini kerana, kata bekas Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib, Umno sentiasa bersikap terbuka untuk media membuat liputan ketika perhimpunan agung berlangsung.
Jelasnya, cadangan mengehadkan liputan media pada PAU 2015 tidak wajar, kerana Umno mungkin adalah parti politik paling terbuka di negara ini.
“Untuk menghentikan atau mengehadkan akses media di perhimpunan itu bukan cara terbaik.
“Saya tidak akan menyifatkannya sebagai tidak munasabah, tetapi ia hampir kepada itu. Adakah Umno takut putar belit media? Media mana? Berita apa yang dilihat sebagai berita diputarbelitkan?
“Malah, askar-askar siber Umno atau juara-juara siber hairan dengan keputusan yang tidak pernah dibuat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan sebagai berkata, parti itu memutuskan, PAU pada bulan depan akan diadakan secara tertutup tanpa liputan media, termasuk media arus perdana, bagi mengelakkan berlakunya manipulasi berita.
Sebaliknya, kata Tengku Adnan, dua Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan mengadakan sidang media, untuk memaklumkan perkara yang berlaku dalam perhimpunan agung itu.
Tengku Adnan kemudiannya menafikan pernah mengatakan media tidak dibenarkan membuat liputan pada PAU 2015.
Sebaliknya, beliau berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan dibuat.
“Saya berharap Setiausaha Agung Umno boleh jelaskan perkara ini. Beliau bukan baru kepada penglibatan media. Jika ini sememangnya begitu, maka mesti ada sesuatu yang tidak betul dalam semua ini,” kata Ahmad.
Sementara itu, Datuk Ahirudin Attan yang lebih dikenali sebagai Rocky Bru turut sependapat dengan Ahmad dengan berkata, cadangan mengehadkan liputan media itu akan menjadi langkah regresif buat Umno.
“Saya tidak fikir mereka perlu kembali ke zaman batu dan cuba menyekat liputan media.
“Jika mereka mahu menyekat kemasukan, maka ia adalah baik, tetapi bukan siaran perhimpunan itu, sama ada secara langsung atau tertangguh.
“Mereka tidak boleh cuba menyekat akses kepada apa yang berlaku di dalam sana, kerana lebih banyak anda cuba sembunyikan atau sekat, lebih banyak anda kehilangan,” kata bekas Ketua Pengarang Malay Mail itu.
Ahirudin berkata, sekatan itu bukan sahaja akan menyekat akses media kepada Umno, tetapi akses parti itu untuk penerbitan dan penyiaran, serta akses kepada penonton yang lebih ramai.
“Jika ia terbuka sebelum ini, ia perlu terus terbuka sekarang,” katanya.
Mengenai isu Umno tidak mengeluarkan pas media kepada media dalam talian tertentu, Ahirudin berkata, ia adalah hak parti itu untuk berbuat demikian.
“Jika mereka kata Malaysiakini, Malaysian Insider atau Chronicle Malaysia tidak boleh akses, ia adalah hak mereka untuk menyekat kemasukan organisasi itu.
“Tetapi sekali lagi, pada zaman ini, mereka perlu telus. Apa salahnya beritahu kami mengapa organisasi itu dihalang?
“Kita semua tahu sekarang beberapa portal berita ‘bekerja’ untuk pembangkang, dan jika anda tidak mahu mereka berada di sana, kerana mereka pada dasarnya bekerja untuk pembangkang dan membuatkan parti anda kelihatan buruk, saya rasa adalah wajar anda menghalang mereka dan tiada siapa yang akan marah,” katanya.
Beliau berkata, ini adalah sebabnya mengapa ia adalah penting untuk parti itu menjelaskan sebab-sebab di sebalik keputusan mereka.
“Apabila mereka memutar belit atau melaporkan separuh benar tentang anda, atau malah memfitnah anda, orang-orang seperti Tengku Adnan tidak sepatutnya sekadar bercakap dan mengancam untuk menyaman.
“Masalahnya ialah, orang-orang ini kata mereka mahu saman, tetapi tidak saman dan itu sebahagian daripada masalahnya juga,” katanya sambil menambah, media tidak lagi menganggap ancaman itu serius.
Tambahnya, inilah sebabnya Umno perlu tegas dengan keputusan dan ancaman mereka.
“Jika mereka mahu melakukannya (saman), mereka boleh, tetapi kemudian jelaskan kepada kami dan rakyat, mengapa mereka berbuat demikian,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.