Followers

Wednesday, November 25, 2015

Mesyuarat MT UMNO berjalan tanpa Muhyiddin dan Shafie - Adam Abu Bakar


muhyiddin

Muhyiddin kini berada di luar negara dan dijangka akan pulang esok manakala Shafie pula sedang mengerjakan ibadah umrah.

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO berlangsung pada pukul 6 petang Selasa seperti yang dijadualkan.

Bagaimanapun seperti yang dijangka, mesyuarat kali ini berlangsung tanpa kehadiran Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal.

Muhyiddin kini dilapor berada di luar negara dan dijangka akan pulang pada esok manakala Shafie pula sedang mengerjakan ibadah umrah.

Berbeza dengan biasa, mesyuarat kali ini diadakan di bangunan sementara Parlimen dan bukannya di ibu pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ini merupakan mesyuarat kedua selepas Muhyiddin dan Shafie disingkirkan daripada Kabinet Julai lalu.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak tiba pada pukul 5.55 petang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba bersama pemimpin tertinggi lain sebelum ketibaan Najib.

Terdapat spekulasi menyatakan mesyuarat ini sengaja diawalkan kerana pimpinan UMNO mahu membincangkan tentang pemecatan Muhyiddin dan Shafie.

Namun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Mansor pada Ahad menolak spekulasi ini menyatakan ia didalangi pihak yang mahu mengeruhkan perpaduan parti.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa mesyuarat itu sengaja diawalkan daripada tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu 27 November.

“Semua pihak telah dimaklumkan mengenai tarikh mesyuarat tersebut dan ia diawalkan untuk memberi masa bagi persiapan Perhimpunan Agung UMNO pada 8 hingga 12 Disember nanti,” katanya.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.