Followers

Thursday, November 12, 2015

Betul Ker Husam Pergi, Baik Untuk PAS ??



Dewan Ulama PAS sudah menunjukkan jalan keluar kepada Datuk Husam Musa selepas serangan terhadap presiden partinya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

Bagaimanapun jika perkara itu benar-benar berlaku, adakah ia akan benar-benar menguntungkan parti Islam itu?

Penganalisis politik sendiri berbeza pendapat tentang impak pada PAS jika Husam, yang dianggap anak didik ikon PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, keluar parti.

Prof Ahmad Atory Hussain berpandangan mana-mana parti politik memerlukan seseorang yang "radikal" bagi memastikan ia kekal relevan.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, jika semakin ramai golongan yang "lantang" meninggalkan parti, PAS akan dilihat dikuasai sesetengah golongan sahaja.

"Tinggallah PAS dengan golongan ulama yang konservatif.

"Bagi sesetengah pihak, ada yang suka orang yang agresif kerana penting bagi parti untuk dapatkan idea baru. Tapi saya lihat PAS tak begitu gemar orang yang mempunyai idea-idea baru,” katanya.

Atory juga melihat tindakan anggota parti itu keluar parti berlaku kerana usaha menjadikan PAS parti yang sesuai dengan peredaran semasa dilihat sebagai tindakan menentang.

Bekas pengajar berkaitan politik dan pentadbiran awam itu juga melihat keadaan yang melanda PAS kini sama seperti yang pernah berlaku dalam Umno.

"Kita bimbang trend ini berlaku dan akan menjadi seperti negara Arab yang mana golongan bijak pandai lari.

“Dan apa yang jadi di negara Arab sekarang, tinggal pak lebai yang memerintah,” katanya.

Ahli akademik 59 tahun itu juga menyatakan kebimbangan PAS menjadi sebuah parti pak turut jika Husam dan anggota parti yang sealiran dengannya mula meninggalkan parti Islam itu.

“Pandangan saya, semua parti sukakan orang yang yes man (pak turut). Lagi ramai yes man lagi bagus pada mereka," katanya sambil ketawa.

Duri dalam daging

Sementara itu, penganalisis politik Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berpendapat Husam wajar keluar daripada PAS kerana tidak lagi "sehaluan" dengan pendirian parti.

Ketua kluster governans, perundangan dan pengurusan awam, Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata, sebagai anggota PAS, Husam tidak patut memburukkan parti secara terbuka.

“Kalau berterusan begini (kritik parti) akan timbul masalah dan dari segi jangka masa panjang, (ia) akan bawa kesan tak baik pada parti.

"Kalau ingin terus bersama PAS perlu ada mekanisme yang lebih baik supaya tidak menjadi isu besar dalam PAS.

“Kalau tak mahu keluar parti tak perlu cakap secara umum apa kelemahan parti," katanya.

Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga berkata, kenyataan yang dibuat Husam membayangkan PAS kini kucar-kacir.

Katanya, kritikan terhadap bukanlah satu masalah tetapi sekiranya ia menimbulkan ketegangan, individu tersebut tidak sesuai terus berada dalam parti tersebut.

"Ramai ahli dari parti lain kalau tak senang dengan pimpinan buat kenyataan di luar (parti). Kalau kerap sangat sehingga membawa kepada isu besar, tak sesuai ada dalam parti," katanya.

Justeru itu, bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14, Dr Nik Ahmad (gambar) menasihatkan PAS supaya memastikan tiada "duri dalam daging" dalam parti.

“(Anggota) Yang tak beri kebaikan harus keluar.

"Proses untuk mencari duri dalam daging ini perlu bagi berdepan pilihan raya umum ke-14. Saya rasa semua parti perlu melalui proses ini bagi bersiap sedia hadapi pilihan raya akan datang," ujarnya lagi.

Menang jadi arang, kalah jadi abu

Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu ditimbulkan Husam, termasuk mengkritik Presiden Hadi dan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Ketika ramai pemimpin kanan parti itu meninggalkan PAS, termasuk bekas timbalan presiden Mohamad Sabu, Husam (gambar) antara yang masih setia bersama parti itu.

Husam melalui politik penuh warna-warni bermula daripada seorang pegawai Nik Aziz sehinggalah kepada kepada seorang exco kanan Kelantan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu terkenal dengan kempen menuntut royalti minyak negeri itu sebelum ini.

Persoalannya jika Husam terasak keluar dengan kasar, adakah keadaannya nanti ibarat yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang?

Husam akan mengumumkan keputusannya di Kota Bharu malam esok.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.