Mereka yang tidak lagi diterima kepimpinan PAS tetapi kekal dalam parti
Islam itu, kini dituduh menyertai kumpulan serpihan Parti Amanah Negara
(Amanah), seolah-olah ia perkara paling keji dalam dunia dilakukan
mereka.
Tetapi, tindakan tersebut hanya membuatkan lebih ramai menyertai Amanah,
yang ketika ini mempunyai 50,000 ahli dalam masa kurang sebulan selepas
dilancarkan, dengan 60% daripadanya bekas pemimpin PAS, menurut
timbalan presiden parti baharu itu, Salahuddin Ayub.
Menceritakan betapa Amanah digunakan untuk "menyerang" ahli yang tidak disenangi mereka, bekas ketua penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad (gambar bawah) berkata, beliau mendapat tekanan kiri dan kanan daripada PAS kononnya beliau menyertai Amanah.
Beliau tidak menyertai Amanah dan masih ahli PAS, tetapi katanya tekanan
mula diterima sejak 2013 apabila beliau mengalahkan ketua Pemuda PAS
ketika itu, Nasrudin Hassan sebagai naib yang dipertua PAS kawasan
Indera Mahkota.
Sejak itu beliau dilabelkan sebagai penentang ulama dan disisihkan oleh
pihak yang menguasai pucuk pimpinan PAS sekarang, iaitu golongan ulama
yang menyingkirkan golongan progresif bagi menduduki majoriti jawatan
tertinggi parti pada pemilihan Jun lalu.
Apabila barisan Kabinet PAS Pahang dibentuk selepas Muktamar PAS ke-61 baru-baru ini, nama Suhaimi terus ditiadakan daripada barisan kepimpinan negeri.
Beliau mendakwa pemimpin PAS memboikotnya, termasuk kedai buku dimilikinya.
Namun, Suhaimi mengambil sikap berdiam diri dan tidak menjawab sebarang serangan terhadapnya.
Beberapa hari lepas, berlaku lagi kejadian tidak disenangi membabitkan
rutin bulanan beliau yang selama 3 hari dalam sebulan akan keluar dari
Pahang memberikan kuliah di masjid dan surau seluruh negara.
Sejak perpecahan berlaku dalam PAS katanya, kuliah yang dijadualkan untuknya berkurangan daripada 8 kepada 3 sahaja kini.
"5 kuliah lagi bagi alasan nak susun balik, kebetulan ada ustaz lain nak
masuk, dan macam macam alasan lain. Aku bersangka baik," tulis Suhaimi
di laman Facebook miliknya.
Salah satu daripada pembatalan kuliah itu dibuat melalui telefon apabila
beliau hanya dihubungi ketika sudah hampir tiba di tempat dijadualkan
berceramah, sebuah masjid di Muadzam.
"Mereka kata, ustaz dah 'join' Amanah dan tak bersama PAS," kata pihak
penganjur kepada Suhaimi yang menyebabkan beliau terkejut.
"Apa!!! Saya masih ahli PAS," Suhaimi melahirkan rasa terkejutnya
melalui tulisannya di akaun media sosial itu, memecah kebisuannya selama
ini.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, Suhaimi berkata beliau tidak berhasrat untuk menyertai Amanah.
"Jika saya sertai Amanah bermakna tuduhan terhadap saya betul dan itulah yang dikehendaki pihak yang memfitnah saya," katanya.
Kebencian PAS terhadap Amanah berpunca daripada hakikat yang pemimpin
parti serpihan itu dulunya rakan seangkatan pemimpin konservatif parti
Islam.
Tetapi, mereka lebih progresif dan memilih untuk meneruskan kerjasama
dengan bekas PAS yang kini menjadi musuh, iaitu DAP yang sekular dan PKR
di bawah Pakatan Rakyat yang kini tidak lagi berfungsi.
Apabila kumpulan progresif menubuhkan Amanah, mereka dilabelkan sebagai
"pengkhianat" oleh PAS, yang berikrar tidak akan bekerja sama dengan
mereka lagi.
Apa yang berlaku kepada Suhaimi turut juga dialami seorang lagi pemberi
kuliah, Roslan Ismail, yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
PAS Bukit Besi, Terengganu.
Katanya, pada 1 Oktober, beliau menerima surat makluman diberhentikan
daripada memberi kuliah di Surau Darulsalam, Paka tempat beliau
berceramah sejak puluhan tahun lalu.
Ekoran itu, pada 2 Oktober, Roslan menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Amanah, kepada naib presiden parti itu Datuk Dr Mujahid Yusof di Kuala Terengganu.
Apa yang dihadapi Suhaimi dan Roslan turut dialami ramai ahli dan bekas pemimpin PAS di seluruh negara.
Kerana perbezaan pendapat, mereka disisihkan pemegang jawatan PAS
sekarang yang menang melalui kempen agresif menyerang pihak yang berbeza
pendapat.
Ekoran itulah sambutan dan penyertaan ke dalam Amanah menjadi fenomena di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.