28 OKTOBER 2015 KOTA BHARU.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera dan melecur di bahagian badan dipercayai didera teman lelaki ibunya dalam kejadian di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Bharu, di sini.
Kejadian dipercayai berlaku sejak seminggu lalu, selepas ibu kanak-kanak itu dan mangsa yang tinggal bersama lelaki terbabit dicucuh dengan puntung rokok di beberapa bahagian badan.
Tidak cukup dengan kejadian itu, kanak-kanak terbabit turut dikurung dalam bilik dan dipukul sehingga matanya lebam tanpa belas kasihan.
Dipercayai suspek dan mangsa tinggal bersekedudukan dan tidak berkahwin.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, perbuatan lelaki itu akhirnya dikesan selepas wanita terbabit bersama kanak-kanak itu berjaya melarikan diri Ahad lalu dan meminta bantuan saudaranya untuk membuat laporan polis.
“Suspek berusia 32 tahun, berjaya ditahan pagi semalam di kawasan Tali Air di Sri Cemerlang dan direman bermula hari ini (semalam) sehingga 2 November untuk tindakan susulan.
“Kes ini disiasat di bawah seksyen 343 Kanun Keseksaan (KK) kerana mengurung ibu dan anaknya dan seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini semalam.
Mazlan berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati, lelaki terbabit di bawah pengaruh dadah jenis Metaphitamine dan kita akan memeriksa latar belakangnya sama ada pernah mempunyai rekod jenayah atau sebaliknya.
“Buat masa ini kanak-kanak itu di rawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan susulan, ”katanya.
Mazlan berkata, dengan penangkapan suspek kes terbabit dianggap selesai dan hanya menunggu siasatan lanjut untuk tindakan lanjut. Berita susulan: Suspek dipercayai berang tidak dipanggil 'abah'
WARTAWAN SINAR HARIAN 29 OKTOBER 2015 KOTA BHARU -
Seorang lelaki berusia 32 tahun hilang kewarasan diri hanya kerana dirinya tidak dipanggil gelaran ‘abah’, malah sanggup mencucuh rokok dan mendera kanak-kanak berusia 2 tahun itu tanpa belas kasihan sejak seminggu lalu.
Kejadian itu diceritakan sendiri ibu mangsa berusia 21 tahun.
Menurutnya, suspek yang juga teman lelakinya sebelum ini sering mendekati anak perempuannya itu, namun kanak-kanak itu sering melarikan diri.
“Dia langsung tidak boleh rapat dengan ‘abahnya’ dan apabila anak saya melarikan diri ketika didekati, dia (teman lelaki) akan mula marah tidak tentu fasal dan bersikap baran.
“Malah, sifat manja anak yang memanggil jiran sebelah dengan gelaran ‘abah’ juga menyebabkan dia akan terus marah dan memberontak,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, dia tidak menyangka sikap panas baran lelaki itu menjadi-jadi sejak seminggu lalu sehingga sanggup mencucuh anaknya dengan puntung rokok dan turut memukul serta menggoncang tubuh kanak-kanak itu sehingga cedera.
“Pernah saya cuba halang perbuatannya tetapi dia akan pukul saya dan turut cederakan saya dengan puntung rokok," katanya.
Wanita berasal dari Selatan Thailand dan menetap di Kota Bharu sejak kecil hingga kini berkata, dia mula berkenalan dengan lelaki itu tiga tahun lalu dan menetap di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, setahun lalu.
“Dia tidak bekerja dan saya terpaksa minta wang belanja daripada ibu yang kebetulan tinggal berdekatan rumah kami.
“Dia pernah ditahan polis dalam kejadian samun dan dipenjarakan sebelum ini, jadi saya mula tawar hati dengannya dan berhasrat mahu tinggal bersama ibu untuk memulakan hidup baharu," katanya.
Kelmarin, kisah kanak-kanak terbabit mendapat liputan media selepas ibunya melarikan diri bersama anaknya itu akibat tidak tahan didera dan dicucuh puntung rokok oleh teman lelakinya itu di sebuah rumah di Tanjung Chat, di sini.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memantau perkembangan kanak-kanak terbabit yang kini ditempatkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Pengarah JKM, Mohamad Hanafi Maulud berkata, setelah diteliti dan melihat perkembangan kanak-kanak tersebut, pihaknya mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian badan, mata termasuk kepala mangsa namun tidak serius.
“Buat masa ini kita tempatkan kaunselor secara berkala untuk melihat perkembangan kanak-kanak itu dari masa ke semasa.
“Kita adakan lawatan seminggu sekali bagi memastikan dia dalam keadaan baik semasa menjalani rawatan di hospital,” katanya. Mohamad Hanafi berkata, pihaknya turut mengenal pasti latar belakang keluarga kanak-kanak terbabit untuk tindakan susulan.
“Ini bagi memastikan sama ada ibu mangsa berusia 21 tahun itu layak atau tidak untuk menjaga anaknya.
“Kita ambil kira semua sudut bagi memastikan kanak-kanak tersebut mendapat hak penjagaan sewajarnya selepas didera sebelum ini,” katanya.
Posted by mountdweller.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.