Kedua-dua aspek itu sudah tentu membentuk worldview Melayu kini. Memang kedua-dua aspek ini akan sentiasa bergelut dan bertarung antara satu sama lain dalam diri dan personaliti Melayu.
Aspek mana yang mendominasi diri dan budaya Melayu pada keseluruhannya bergantung pula kepada kualiti, dedikasi, komitmen dan visi kepimpinan Melayu dalam mencorakkan masyarakat.
Memang kepimpinan Melayu selepas merdeka banyak menghadapi cabaran-cabaran tertentu.
Antara cabaran yang penting dan menarik ialah cabaran survival dan kepentingan Melayu dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk dan dalam membangunkan Melayu menghadapi era globalisasi kini.
Pada penulis, era kepimpinan Melayu yang paling menarik selepas merdeka ialah era pemerintahan Tun Abdul Razak Hussien selaku perdana menteri dan Tun Dr Ismail Abd Rahman sebagai timbalan perdana menteri pada 1970an.
Dalam era pemerintahan mereka ini, kita lihat terlaksananya dasar nasional, iaitu dasar politik nasional, dasar ekonomi baru, dasar pendidikan nasional, dasar kebudayaan nasional, dasar luar negara yang bebas serta berkecuali dan dasar pembangunan luar bandar.
Pada umumnya, dasar-dasar ini realistik dan praktikal dalam konteks kapasiti Melayu dan masyarakat majmuk Malaysia pada tahap dan era itu.
Dasar pendidikan nasional, kebudayaan nasional dan bahasa kebangsaan nampaknya berada di atas paradigma yang sesuai dengan latar belakang sejarah Malaysia dalam konteks tradisi sejarah budaya gugusan kepulauan Melayu.
Dasar luar yang berkecuali juga sesuai dengan Malaysia sebuah negara kecil yang perlu kepada keselamatan dan untuk berkawan dengan mana-mana negara demi pembangunan dan masa depannya.
Lebih hebat lagi pula, institusi penting negara seperti institusi kehakiman, kepolisan dan lain-lain lagi semasa di bawah pimpinan Tun Abdul Razak dihormati dan dipandang tinggi masyarakat umum dan dunia (integriti institusi penting negara seperti institusi kehakiman, kepolisan dan lain-lain juga wujud dalam zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman Putera dan Tun Hussein Onn).
Memang wujud konflik politik dalam Umno dalam zaman pemerintahan Tun Abdul Razak sebelum ini.
Tetapi konflik politik itu berlaku dalam keadaaan yang tidak maksima (konflik politik antara Datuk Harun Idris selaku ketua pemuda Umno dan menteri besar Selangor pada masa itu dengan pucak pimpinan Umno termasuk Tun Abdul Razak Hussein itu sendiri).
Berbeza dengan zaman pemerintahan Tun Abdul Razak sebelum Malaysia, selama 22 tahun di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, seterusnya banyak membawa perubahan wajah. Perubahan besar yang wujud dalam zaman Dr Mahathir walaupun pada ungkapan lahirnya menampakkan positif, tetapi kalaulah dilihat kepada hakikat, sebaliknya banyak pula membawa kesan yang negatif kepada Melayu dan negara.
Memang Dr Mahathir berjaya mengubah negara daripada sebuah negara pertanian kepada negara indastri.
Dr Mahathir juga berjaya mewujudkan projek mega seperti menara berkembar KLCC syarikat pengeluar kereta Proton, pembangunan Putrajaya, projek lapangan kapal terbang antarabangsa Kuala Lumpur, formula satu dan lain-lain.
Projek-projek ini walaupun ada yang membawa manfaat kepada kehidupan rakyat, tetapi banyak pula membawa bebanan kepada rakyat umum dan negara.
Sebagai contoh, di sebalik kita berbangga Malaysia sebagai negara pengeluar kereta, negara terpaksa memikul beban di atas projek mega ini demi survival dan kelangsungan industri ini.
Beban yang ditanggung rakyat ke atas harga kereta yang tinggi dalam pasaran tempatan demi melindungi dan survival industri kereta tempatan sangat dirasai rakyat umum.
Tambah lagi, industri ini gagal mendapat pasaran yang sepatutnya di gelanggang pasaran antarabangsa. Projek industri berat iaitu perwaja, nyata kecundang di pertengahan jalan. Kegagalan projek mega ini sudah tentu menambahkan lagi bebanan kepada negara dan rakyat pada umumnya.
Di bawah dasar penswastaan negara, cara-cara penanugerah projek mega kepada syarikat tertentu banyak dipersoalkan rakyat. Sistem penanugerahan tender secara terbuka dan telus tidak dikendalikan pihak berkuasa.
Memang muncul anak Melayu menjadi tokoh koporat dalam era Dr Mahathir, tetapi ramai pula di kalangan mereka kecundang apabila menghadapi peristiwa serangan mata wang di peringkat antarabangsa pada 1990-an. Memang bangsa perlu kepada kemunculan tokoh-tokoh korporat ini.
Kehadiran dan usaha mereka sudah tentu membesarkan kek ekonomi negara dan bangsa. Di bawah “the expansion of the economic cake” tadi, ekonomi negara akan berkembang.
Rakyat umum pula boleh tumpang mendapat rezeki kehidupan. Namun apa yang dapat dilihat pada fenomena umumnya, wujud jurang yang sangat membesar di antara jumlah kecil anggota masyarakat yang kaya raya dengan kehidupan jumlah besar rakyat umum yang hidup secara sederhana.
Yang sedihnya, lagi ramai juga di kalangan anak bangsa dan rakyat yang hidup menderita di tengah-tengah kos hidup yang tinggi. Sebaliknya, wujud pula segelintir kecil anggota masyarakat yang hidup terlalu mewah. Dalam senario kehidupan demikian istilah penyalahgunaan kuasa, korupsi dan kronisme menjadi buah mulut masyarakat. Kegiatan jenayah juga dikatakan bertambah dalam masyarakat.
Lebih dashyat lagi di bawah pemerintahan Dr Mahathir, kredibiliti institusi penting negara seperti institusi kehakiman, kepolisan dan lain-lain mulai dipersoalkan ramai angota masyarakat. Konflik politik yang melibatkan pimpinan tertinggi negara dan Umno kerap kali berlaku, membawa kepada perpecahan Umno dan Melayu.
Apakah dengan fenomena negatif ini, Wawasan 2020 yang menjadi idaman Dr Mahathir boleh menjadi realiti? Juga berbeza dengan zaman Tun Abdul Razak sebelum, Dr Mahathir dalam zaman pemerintahannya kurang sekali fokus kepada dasar kebudayaan nasional, dasar pendidikan nasional, dan pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan.
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.