Followers

Thursday, October 8, 2015

Berpeluangkah Kita Melihat Najib Di Kandang Saksi Mahkamah?


Tiada penarikan balik, tiada maaf, kata Ling kepada Najib

Bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik hari ini mempertahankan kenyataannya terhadap perdana menteri dan tidak akan memohon maaf, susulan surat tuntutan diterimanya daripada peguam Datuk Seri Najib Razak, mengancam akan menyamannya kerana memfitnah dalam kenyataan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Ling berkata, beliau amat terkejut menerima surat daripada peguam Najib yang menuduhnya memfitnah perdana menteri.

Beliau juga amat terkejut apabila kandungan surat itu tersebar di kalangan media.

"Saya katakan kepada perdana menteri, kalau anda memilih untuk saman saya, saya akan membela diri. Dengan segala kerendahan hati, saya terima cabaran anda.

"Saya berharap untuk melihat perdana menteri berdiri di kandang saksi, kerana beliau pasti akan terpaksa berbuat demikian jika beliau mendakwa reputasinya menjadi taruhan.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi, saya tetap pertahankan apa yang saya kata. Saya tidak akan meminta maaf,"
katanya dalam satu kenyataan media.

Pada Sabtu, portal berita Malaysiakini memetik Dr Ling berkata, beliau bersetuju dengan bekas bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang Najib "mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi beliau".

"Saya setuju dengan (Dr) Mahathir. Kerana, beliau (Najib) mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam akaun peribadinya," Dr Ling dipetik sebagai berkata pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Bekas menteri pengangkutan antara tahun 1986 dan 2001 itu berkata demikian ketika berucap di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, apabila ditanya sama ada beliau bersetuju dengan gesaan Dr Mahathir supaya Najib meletak jawatan.

Susulan kenyataan itu, firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak mengeluarkan surat tuntutan bagi pihak Najib kepada Dr Ling di kediamannya.

Surat itu meminta beliau mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan pampasan dalam masa tujuh hari, jika tidak, tindakan undang-undang akan dimulakan.

Najib terlibat dalam siasatan rasuah dalam kes 1MDB selepas akhbar The Wall Street Journal yang berpangkalan di Amerika Syarikat melaporkan pada Julai, kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi beliau dua bulan sebelum pilihan raya umum 2013.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kemudiannya mengumumkan wang itu merupakan sumbangan penderma dari Timur Tengah.

Perdana menteri juga menafikan menggunakan wang rakyat, termasuk dari 1MDB, untuk kepentingan peribadi, walaupun soalan timbul berhubung sumber dan tujuan derma itu dihulurkan.

Dr Mahathir berulang kali menuntut Najib berundur daripada jawatannya, manakala pemimpin Umno yang dipecat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan terhadap 1MDB di Hong Kong, Switzerland dan United Kingdom berhubung kes dakwaan pengubahan wang haram.

Pihak pembangkang juga mempertimbangkan mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri yang dilanda masalah itu apabila Parlimen bersidang semula 19 Oktober ini. –TMI



ULASAN GB

Gayung bersambut. Soalnya kini, beranikah Najib mengarahkan peguamnya untuk menyaman Ling Liong Sik?

Pertama kali kita akan bersetuju supaya Najib segera menyaman Tun Dr Ling, kerana biar segala-galanya terbongkar di mahkamah dan biar Najib menjawab dari kandang saksi mahkamah.

Ada berani Najib? 
 
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.