Followers

Friday, October 9, 2015

Berani Sungguh Muhyiddin.. Saksikanlah

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar tindakan Putrajaya terhadap bekas ahli Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 sedangkan beliau tidak melakukan jenayah keganasan.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut mempersoalkan sama ada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini begitu kebal sehinggakan mereka yang membuat laporan terhadap syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan itu dianggap satu keganasan.

"Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB.

 "Yang terbaharu ialah penahanan Khairuddin di bawah Sosma 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB.

"Seingat saya Sosma adalah satu undang-undang yang diluluskan Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada laman Facebook miliknya.

Beliau berkata, membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa berkenaan transaksi sebuah syarikat swasta tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk keganasan.

"Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan?

"Adakah 1MDB kini menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu," katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Pagoh.

Muhyiddin sebaliknya berkata, 1MDB juga seperti syarikat lain yang masih tertakluk kepada undang-undang negara.

"Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal.

"1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara," katanya.

Susulan titah Majlis Raja-Raja menggesa Putrajaya mengambil tindakan terhadap pihak terbabit dalam isu 1MDB, Muhyiddin berkata rakyat yang khuatir perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali," katanya.

Beliau berkata, bukan seperti tindakan yang dilakukan Putrajaya terhadap Khairuddin, pengadu seharusnya diberi perlindungan dan bukannya dihukum.

"Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya," katanya.
 
 
ADDIN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.