Followers

Thursday, October 8, 2015

AMANAH: Isyarat jelas supaya Najib berundur


Teguran Majlis Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan segera siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ditafsirkan sebagai isyarat jelas supaya Datuk Seri Najib Razak berundur sebagai perdana menteri, kata Parti Amanah Negara (AMANAH).

Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata hal ini kerana Najib masih gagal membuktikan ketelusan dan keyakinan semua pihak termasuk Majlis itu berhubung skandal firma pelaburan itu yang turut dikaitkan dengan beliau .

"Sosok bahasa, keluhuran budi, adat dan budaya Bangsa Melayu yang boleh diterjemahkan dengan kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tersebut agar menasihatkan supaya Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak berundur sebagai perdana menteri Malaysia kerana telah gagal menyelesaikan isu 1MDB dengan segera dan turut telah menjejaskan ekonomi negara," katanya.

Salahudin mengulas kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

Dalam satu kenyataan semalam, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Dalam kenyataannya hari ini, Salahudin yang juga bekas MP Kubang Kerian berkata parti itu juga yakin teguran majlis itu juga bagi memastikan Putrajaya menumpukan pembangunan negara.

"Dalam masa yang sama memulihkan kembali ekonomi negara berikutan kejatuhan nilai mata wang apabila isu yang melibatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masib belum diselesaikan," katanya.

Menurutnya lagi, pelbagai pihak termasuk pegawai tinggi seperti Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyuarakan kebimbangan mereka berhubung isu ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.