Isu hartanah Kampung Baru dikhuatiri sukar diselesaikan Isu hartanah Kampung Baru dikhuatiri sukar diselesaikan
KUALA LUMPUR: Selain aspek penilaian harga, soal pemilikan hartanah berbilang nama dengan waris yang tidak dapat dijejaki turut antara lain membantutkan pelan pembangunan masa depan Kampung Baru di ibu negara.
Bagi mengatasinya, pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) menyatakan masalah itu boleh dibantu melalui program Jejak Waris. “Pihak PKB ada pasukan khas yang kita panggil Jejak Waris.
Apabila ada pihak datang ke PKB untuk memberitahu permasalahan mereka dan kita tahu sesebuah lot mempunyai masalah, kita akan guna segala rangakaian hubungan yang kita ada termasuk Pejabat Tanah untuk cari pewaris-pewaris,” ujar Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari.
Beliau ditemui dalam sebuah sesi perbincangan antara PKB dan para pewaris tanah Kampung Baru di ibu negara pada Sabtu. Menurut Affendi, sejak program itu ditubuhkan Mei lalu, pihak PKB telah berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes melibatkan lot dan pewaris. Bagi semua kes tersebut, status tanah tersebut sudah sedia untuk dijual sekiranya itu kehendak pemiliknya.
“Tentang pertikaian nilai hartanah pula, para pewaris sering tertanya-tanya apakah penilaian yang patut. Mereka selalu bandingkan dengan nilai tanah di luar kawasan Kampung Baru yang jauh lebih tinggi.
Namun itulah nilai yang diberi oleh pihak jurunilai ternama di Kuala Lumpur,” katanya.
Untuk mengatasinya, pihak PKB telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk melantik enam jurunilai seterusnya memberi kata putus mengenai ‘nilaian akan datang’ tanah Kampung Baru.
Pada masa ini, nilai sekaki persegi hartanah di Kampung Baru dinilai sekitar RM350 hingga RM500 sedangkan tanah komersial yang bersempadan pula berganda-ganda lebih tinggi.
Kehendak pewaris Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani berkata dalam perbincangan itu beliau bertindak sebagai perantara bagi memastikan suara para pewaris diberi perhatian oleh PKB.
"Sebagai wakil rakyat, saya ingin memastikan bahawa pemilik-pemilik tanah mendapat nilai daripada pembangunan. Kalau ada masalah dari segi pencantuman tanah-tanah ini untuk dibuat pembangunan, maka saya berperanan untuk memastikan PKB boleh bekerjasama dengan para pewaris,” ujar beliau. Kata Johari, kehendak para pemilik tanah Kampung Baru terbahagi kepada tiga.
Pertama adalah golongan yang sekadar mahu menjual, kedua adalah mereka yang mahu tanah mereka dibangunkan manakala yang ketiga adalah pemilik tanah yang hendak terus duduk di tanah mereka tanpa mahu dibangunkan. “Jadi, bagaimana kita mahu menggabungkan usaha ini?
Kita boleh meyakinkan kepada mereka yang sekadar mahu duduk itu bahawa mereka boleh terus menghuni Kampung Baru tapi di dalam kawasan yang dibangunkan,” kata Johari.
Bagi para pewaris tanah pula, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan dipersetujui secara kolektif sebelum pelan pembangunan tersebut dapat dimulakan. Tanah Kampung Bharu Hartanah di Kampung Bharu yang terletak di tengah-tengah kawasan komersial Kuala Lumpur berdepan pelbagai isu apabila melibatkan soal pembangunan.
Nilai pulangan Antara isu yang menanti jawapan adalah soal penilaian hartanah, tempoh dan pulangan pembangunan, pengurusan pembahagian pulangan mengikut saiz tanah yang dijual, serta kecekapan mekanisme pencarian waris atau penama dalam geran oleh PKB.
Salah seorang pewaris Samsudin Mat, 59, antara masalah yang dihadapi adalah untuk menggabungkan persetujuan beberapa pemilik tanah dengan saiz keluasan hartanah kecil bagi membolehkan tanah mereka dijual.
“Satu lagi adalah tentang manfaat.
Apa yang kita dapat? Sebab kalau manfaatnya terlalu sedikit, kita rasa rugilah kerana Kampung Bharu ni berada di tengah-tengah Kuala Lumpur. Itulah saja harta yang kita ada.
“Saya juga mencadangkan supaya perkara ini dipercepatkan supaya tidak menjadi lebih sukar pada masa akan datang.
Sekarang ini kita sudah generasi ketiga, malah ramai yang sudah meninggal dunia dan tanah mereka kini diwarisi oleh berbilang penama,” kata Samsudin.
Tambahnya, hal itu membuatkan bahagian masing-masing menjadi lebih kecil sekali gus waris tidak melihat pembahagian nilai jualan itu berbaloi.
Bina kondominium Naib Presiden Kanan syarikat pembangun UDA Holdings Berhad, Adenan Md Yusof, ketika ditemui berkata, perancangan pembangunan tersebut meliputi kawasan seluas kira-kira 1.13 hektar yang sebelum ini merupakan Pasar Minggu Kampung Baru.
Sebuah kondominium 639 unit dengan status khas Bumiputera dan sebuah bangunan pejabat akan dibangunkan dan dijangka mengambil tempoh pembinaan selama 40 bulan.
Harga seunit kondominium itu adalah sekitar RM300,000 hingga melebihi RM1 juta mengikut keluasan.
"Masalah paling besar tentang hartanah di Kampung Baru ini adalah tentang pewaris.
Butiran dalam statusnya tidak dapat dilengkapi kerana ramai penama telah meninggal dunia. Sebelum UDA dapat mula membangunkan tanah ini, perkara tersebut perlu diselesaikan terlebih dahulu," ujar Adenan.
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.