Followers

Sunday, September 20, 2015

Khairuddin mungkin cabar perintah tahanan reman, kata peguam

Datuk Khairuddin Abu Hassan mungkin akan mencabar perintah tahanan reman 6 hari yang diperoleh polis ke atasnya untuk menyiasat beliau atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan, kata peguamnya Matthias Chang.

"Kami sedang mengkaji untuk memfailkan permohonan itu esok di Mahkamah Tinggi kerana reman itu tidak mempunyai asas," kata Chang kepada The Malaysian Insider hari ini.

Semalam, seorang majistret membenarkan polis menahan bekas pemimpin Umno bahagian yang dipecat itu sehingga Khamis.

Chang mendakwa, reman yang panjang itu merupakan satu bentuk hukuman kerana anak guamnya menyerahkan bukti yang berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada penyiasat luar negara.

"Ia juga untuk menakut-nakutkan orang lain daripada mengikut jejak Khairuddin," katanya.

Katanya, polis juga menyiasat Datuk Tong Kooi Ong dan Ho Kay Tat daripada The Edge mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan, kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen tetapi tiada tangkapan dibuat.

"Bagaimanapun, Khairuddin sudah memberi akujanji kepada polis untuk tampil pada Isnin berhubung dakwaan itu tetapi mereka mengambilnya di rumahnya pada petang Jumaat itu," katanya.

Khairuddin sepatutnya berlepas ke Amerika Syarikat pada pagi Jumaat bersama Chang, tetapi kedua-duanya dihalang daripada meninggalkan negara ini oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau yang sebelum ini diisytiharkan muflis, berkata dalam laman Facebook miliknya pada Jumaat yang polis hendak menyoalnya kerana menyerahkan bukti berkaitan skandal 1MDB kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland pada 20 Ogos.

Khairuddin menggesa pihak berkuasa Switzerland itu menyiasat aktiviti syarikat cabang pelaburan negara yang dibebani hutang itu yang melibatkan bank Switzerland dan bank antarabangsa.

Beliau menegaskan mengambil tindakan demikian demi kepentingan negara, sambil menyatakan beliau mempunyai locus standi membuat laporan kepada pihak berkuasa Switzerland.

Namun, Putrajaya menuduh Khairuddin membuat "laporan polis palsu yang bermotifkan politik" dan membawa agenda yang sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini terus-terusan menggesa peletakan jawatan Najib.-TMI

 
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.