Followers

Monday, September 7, 2015

Jangan jadikan masalah negara isu perkauman, kata Rafidah Aziz


Jangan jadikan masalah negara isu perkauman, kata Rafidah Aziz Tan Sri Rafidah Aziz hari ini membidas pemimpin didakwanya "memainkan isu perkauman" dalam usaha mengelak daripada menangani isu dibangkitkan rakyat Malaysia yang prihatin.

Dalam posting Facebook terbaru beliau, bekas ketua Wanita Umno itu berkata, keadaan "kucar-kacir" yang dihadapi negara ketika ini tidak ada kena mengena dengan bangsa, tetapi berkenaan tadbir urus, ketelusan dan integriti.

"Sekarang waktu yang sangat tidak menyenangkan," tulis bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

"Ada orang cuba mengelak isu SEBENAR dan memilih cara mudah melepaskan diri... Mainkan isu perkauman... Tuding jari dan salahkan orang lain... Mainkan angka bagi menggambarkan 'kekuatan' sokongan yang mereka perolehi.

"Dalam proses ini, isu yang menjadi kerisauan rakyat, dan mahu dilihat satu penyelesaian segera, dipinggirkan begitu saja... DAN DIELAKKAN," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia bimbang tentang isu berkaitan urusan pentadbiran negara, tadbir urus ekonomi dan kebolehpercayaan terhadap mereka yang berkuasa.

"Saya ingin ingatkan yang ISU yang sedang kita depani TIADA kaitan dengan kaum kumpulan tertentu atau apa saja," katanya sambil menulis dalam huruf besar beberapa perkataan yang hendak ditekankan.

Rafidah juga mengkritik satu cadangan perhimpunan baju merah pada 16 September, mengatakan ia tidak mendatangkan sebarang manfaat dan membawa mesej yang bercampur-campur.

Poster program "Himpunan Maruah Melayu" itu sedang diedarkan di laman sosial menggesa Melayu bersatu dalam solidariti membantah beberapa kumpulan dan isu seperti Bersih 2.0 dan DAP.

"APA saja yang mereka hendak buktikan? Adakah mereka hendak katakan semuanya OK di sebalik kucar kacir ini... mereka SOKONG tindakan yang membawa kepada Rasa Malu Negara?

"Mereka setuju dengan apa yang pemimpin lakukan?" soal Rafidah.

Beliau berkata, 16 September yang merupakan Hari Malaysia seharusnya melihat rakyat Malaysia bersatu dalam kepelbagaian, tetapi perhimpunan yang dirancang itu "sama sekali bertentangan" dengan seruan itu.

Beliau memberi amaran, ia boleh mewujudkan lebih banyak pecah belah dan mencadangkan orang Melayu menganjurkan sesi doa dan solat hajat untuk menyelamatkan negara.-TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.