Followers

Monday, September 7, 2015

PDRM Dan Bukan Macai Politik

"Saya ingin jawapan kenapa saya ‘ditendang’" - Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman


SHAH ALAM - "Saya ingin jawapan dari (Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri atas alasan apakah saya ditendang keluar dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Oleh kerana beliau yang memaklumkan secara lisan kepada saya tentang pertukaran tersebut maka sudah tentu beliau tahu sebab musababnya," kata bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Dalam kenyataan itu lagi, Abdul Hamid berkata, dirinya seperti teraniaya dan dihina dek kerana pertukaran aneh tersebut.

"Saya merasakan diri saya dihina sebegini dan tak layak untuk memakai lencana keramat PDRM itu lagi. Adakah pertukaran ini dibuat kerana saya berada bersama (bekas Peguam Negara) Tan Sri (Abdul) Gani Patail di rumah beliau pada malam sebelum beliau dipecat?.

"Atau adakah semata-mata atas sebab saya sering mengkritik tentang hala tuju dan tempoh lembap proses siasatan ke atas kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad)?.

Saya dimaklumkan bahawa di dalam salah satu mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pegawai tinggi kerajaan yang lain.

"Adakah sewaktu mesyuarat ini hukuman ke atas saya diputuskan? Jika benar, amatlah hina diri ini saya rasakan. Ramai yang menuduh saya sebagai ‘sore loser’ sambil mendakwa pertukaran itu sebagai sesuatu yang normal di mana sebelum ini ramai pegawai kanan polis telah dipinjamkan ke jabatan atau kementerian lain untuk menjalankan fungsi-fungsi khusus. Tetapi dalam kes saya ini ia amat luar biasa sekali kerana arahan tersebut datang dari seorang Timbalan Perdana Menteri.

"Saya mengaku bahawa memang saya berada di rumah Tan Sri (Abdul) Gani Patail hampir sejam setengah, dua malam sebelum beliau dipecat di mana banyak perkara telah dibincangkan. Saya mengaku bahawa di masa lalu Gani Patail sering meminta pandangan Cawangan Khas dalam banyak isu tertentu, khususnya yang mempunyai implikasi terhadap keselamatan negara. Jika fakta inilah yang dijadikan alasan oleh Datuk Seri (Dr) Ahmad Zahid Hamidi untuk menghukum saya maka kejamlah beliau," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Sebelum ini beliau pernah tampil untuk menegur pentadbiran Putrajaya walaupun masih menjadi penjawat awam dan dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab berikutan melakukan sidang media tanpa kebenaran.

Beliau kini dikendaki melapor diri ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai Timbalan Pengarah Isu-Isu Keselamatan dan Transnasional (SIS).

Dalam satu laporan lain sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pertukaran Abdul Hamid adalah sebagai pengiktirafan atas kemampuan dan pengalamannya dalam menangani isu keselamatan.

Khalid berkata, pertukarannya keluar daripada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukanlah sesuatu yang 'luar biasa'.

"Sebelum ini, Tan Sri Bakri Omar, Tan Sri Zaman Khan, Datuk Seri Zulkifli Md Noor dan saya sendiri pernah ditempatkan di beberapa agensi kerajaan untuk tujuan memenuhi tuntutan dan keperluan semasa," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, beliau berkhidmat dalam PDRM adalah kerana tanggungjawab bukan untuk kepentingan peribadi.

"Tidakkah beliau sedar bahawa saya ini seorang ‘career officer’ dalam PDRM dan bukannya macai politik?

"Bukankah sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau sepatutnya membela saya?” katanya lagi.

Katanya, tindakan saya melawan arus ini beliau ambil dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa masa depan saya dalam PDRM akan terjejas dan nyawa saya juga mungkin terancam. “Saya pasrah dengan harapan agar nasib yang menimpa diri saya ini tidak berlaku ke atas penjawat awam yang lain.

“Saya berdiri atas prinsip bahawa kebenaran itu diredai ALLAH SWT," katanya.

- SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.