Followers

Monday, September 21, 2015

Anwar Ibrahim Sokong Pakatan Rakyat 2.0


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru parti pembangkang termasuk NGO supaya mengetepikan perbezaan bagi mewujudkan muafakat politik baru demi membawa perubahan kepada negara.

Menurutnya lagi, usaha rundingan meja bulat sebagai langkah untuk menyelamatkan Malaysia dengan menggembleng tenaga semua pihak yang komited kepada reformasi, keadilan dan kedaulatan undang-undang.

"Walau saya di penjara, saya tetap dapat merasai kerisauan dan kebimbangan rakyat terhadap isu ekonomi dan kejatuhan nilai mata wang ringgit, penggunaan retorik perkauman yang semakin meningkat dan skandal 1MDB yang tidak berkesudahan.

"Dalam keadaan genting ini, kita perlu mengetepikan perbezaan dan maju ke hadapan untuk membentuk alternatif yang berdaya maju, adil dan demokratik berbanding kerajaan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Persidangan meja bulat akan diadakan esok di Hotel Empire, Subang Jaya bermula jam 10 pagi.

Sebelum ini dilaporkan PAS masih bertahaluf dengan PKR dalam pakatan pembangkang tetapi tidak dengan DAP dan AMANAH. Mereka juga tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan pihak yang melakukan khianat.

Semalam Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih berharap selepas PAS menolak untuk menghadiri perbincangan meja bulat bagi membentuk gabungan politik pembangkang yang baru esok.

Sementara itu, Dr Wan Azizah hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil DAP bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk hala tuju perjuangan berasaskan prinsip yang dipersetujui bersama.

Tiga wakil itu ialah tokoh parlimen DAP Lim Kit Siang, MP Seputeh Teresa Kok serta MP Kluang Liew Chin Tong

"Kami turut membincangkan mengenai rundingan meja bulat ke arah pembentukan pakatan pembangkang baru yang bakal diadakan pada hari esok.

"Rundingan ini akan dihadiri oleh pimpinan parti pembangkang utama, pimpinan NGO serta tokoh-tokoh lain,” kata Dr Wan Azizah dalam kenyataan yang dikeluar pejabat presiden.

Dr Wan Azizah juga berharap runding meja bulat esok mampu membina muafakat politik baru yang lebih kuat sejajar dengan harapan rakyat yang mengimpikan pakatan pembangkang yang teguh dan harmoni untuk menewaskan Umno/BN.

 
ADDIN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.