Saya kecewa dengan kenyataan-kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamad yang baru yang seolah-olah mahu menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.
Kenyataan beliau yang dipetik media turut menyebut tentang kewujudan anasir yang kononnya ingin menimbulkan huru-hara.
Hari ini juga, saya
terkejut dengan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) yang akan menyekat laman-laman yang mempromosikan Bersih 4.
Ini ditambah pula dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin yang menyebut bagaimana pihak tentera akan mengambil alih sekiranya kerajaan mengumumkan darurat. Tindakan dan kenyataan-kenyataan ini adalah keterlaluan dan tidak membantu memastikan satu perhimpunan rakyat yang aman sedangkan Bersih 4 adalah satu perhimpunan yang menepati hak rakyat seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah, keputusan
mahkamah dengan jelas menegaskan berkali-kali perhimpunan Bersih adalah
sah di sisi undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Kerana itu, saya
menyeru supaya pihak berkuasa baik Kementerian Dalam Negeri, SKMM, Polis
Diraja Malaysia (PDRM) atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya
bertenang dan tidak membuat kenyataan atau tindakan yang boleh
mengganggu kelancaran Perhimpunan Bersih 4.
Pengalaman sebelum ini
dari perhimpunan Bersih yang pertama hingga Bersih 3 menunjukkan ratusan
ribu rakyat akan tetap turun ke jalan raya di sekitar Kuala Lumpur
untuk melahirkan pandangan mereka selaras dengan hak mereka di dalam
Perlembagaan Persekutuan tidak kira apa tindakan atau sekatan yang
diambil pihak berkuasa.
Demi kesejahteraan
rakyat dan keselamatan peserta Perhimpunan Bersih 4 yang turun mengikut
peruntukan undang-undang, lebih baik sekiranya pihak berkuasa mengambil
langkah membantu kelancaran perhimpunan ini.
Kenyataan atau tindakan
yang cuba menyekat rakyat dari turun tidak akan berkesan dan hanya
menimbulkan ketegangan yang tidak diperlukan dalam keadaan rakyat sudah
matang mengenai hak mereka berhimpun secara aman.
Saya juga ingin
mengingatkan setiap anggota polis dan keselamatan yang bertugas
sepanjang Perhimpunan Bersih 4 ini bahawa kami berhimpun demi
memperjuangkan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka juga:
1. Supaya anggota
polis/keselamatan dan anak-anak mereka tidak perlu dibebankan dengan
cukai GST dan tekanan ekonomi yang mendesak kehidupan mereka.
2. Supaya anggota polis/keselamatan dan anak-anak mereka dapat hidup dalam sebuah negara yang menghormati undang-undang.
3. Supaya anggota
polis/keselamatan dan anak-anak mereka berkerajaankan pimpinan yang
tidak makan rasuah dan menyeleweng wang rakyat.
Saya yakin
sahabat-sahabat dari kalangan anggota polis dan keselamatan akan
bertindak profesional sepanjang perhimpunan Bersih 4 untuk melindungi
keselamatan dan hak peserta seperti amanah yang dipertanggungjawabkan
kepada mereka. – sumber
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.