Pelbagai analisis sudah dibuat tentang Bersih 4 ini. Ada yang
berpendapat harus dan ada pula yang berpendapat bahawa Bersih 4 ini
hanyalah sekadar satu gimik politik pembangkang dalam terus mengukuhkan
cengkaman survival politik mereka di negara ini.
Namun persoalannya, siapa yang sebenarnya memberikan
‘nyawa’ kepada Bersih 4 ini untuk kembali bangkit dalam arena politik
negara? Andaikata isu-isu berat seperti 1MDB
mahupun isu dana politik ini diadili sewajarnya oleh Perdana Menteri
serta pasukannya maka hari ini Bersih hanyalah tinggal nyawa-nyawa ikan
sahaja.
Dalam erti kata lain, Barisan Nasional yang sebenarnya membuka ruang
kepada kumpulan ini untuk mengambil kesempatan dengan segala kekusutan
politik saat ini.
Haruskah Kerajaan Tegas pada Bersih 4?
Benarkah Bersih 4 ini bakal membawa harapan baru kepada rakyat negara
ini serta menjadi satu platform rakyat untuk sampaikan mesej meminta
Perdana Menteri berundur. Atau Bersih 4 ini hanyalah sekadar satu
hiburan hujung minggu semata-mata?
Realitinya, segala permasalahan hari ini dalam politik negara adalah
berpunca daripada ketidakcekapan pemerintah dalam menafi serta melawan
pelbagai persepsi dan spekulasi negatif yang melibatkan kredibiliti
Perdana Menteri.
Ini ditambah pula dengan serangan demi serangan oleh
media antarabangsa yang gagal ditangkis oleh media tempatan pro
pemerintah.
Maka ketika rakyat memerlukan satu platform untuk melepaskan kekecewaan
terhadap ketidakupayaan pemerintah dalam berdepan isu-isu politik ini
lalu muncullah Bersih 4 ini bak wira yang kononnya menggalas suara 30.9 juta rakyat Malaysia.
Adalah sia-sia andaikata kerajaan cuba untuk mengekang kumpulan ini
daripada berhimpun kerana hakikatnya persepsi kononnya kerajaan bersifat
autokratik dan menindas suara rakyat Malaysia daripada berhimpun secara
aman akan dimainkan dan diviralkan dalam media sosial. Soalnya, jika
Bersih 4 ini berhimpun sekalipun apa manfaat kepada negara?
Bersih, dimana Bersihnya?
Apa sebenarnya yang telah tercapai dan dicapai sejak penganjuran Bersih 1 hinggalah kepada Bersih 3?
Harus diakui bahawa kesemuanya gagal sama sekali memberikan momentum
kepada politik negara. Tiada sebarang pembaharuan dalam politik
pemerintah.
Apa lagi yang dapat diwar-warkan sebagai pencapaian terbaik
kumpulan pro Bersih 4 ini selain daripada perhimpunan ini dijadikan
medan ceramah oleh politikus pembangkang yang kemudiannya bertukar ganas
dengan pergaduhan antara para peserta demonstrasi dan pihak berkuasa.
Malah, ada pandangan sinis pula menyimpulkan Bersih 4 ini lebih bertumpu
kepada strategi menjual cenderamata seperti tshirt berbanding
benar-benar gerakkan rakyat marhaen untuk melakukan revolusi
menumbangkan kerajaan. Di Malaysia, sebelum berevolusi, harus menjual
dan mempromosikan cenderamata Bersih terlebih dahulu serta keuntungan
diutamakan berbanding objektif perhimpunan itu sendiri.
Hakikatnya,
Bersih secara langsung bukannya tentang revolusi rakyat marhaen tetapi
menjadi medan memperalat kuasa membeli rakyat.
Apa Harapan Rakyat?
Apakah rakyat masih ada harapan di negara ini sedangkan kerajaan semacam
lembap dalam mendengar suara rakyat sementara pembangkang pula
berpura-pura mendengar suara rakyat sedangkan hakikatnya tidak sebegitu.
Pembangkang perlukan kuasa. Bersih 4 perlukan sokongan rakyat.
Maka
hubungan Bersih 4 dan pembangkang ini umpama simbiosis. Atau dalam kata
lain, ‘I jaga you, you jaga I.’
Terimalah kenyataan bahawa revolusi tidak mungkin sama sekali akan
berlaku dinegara ini kerana walau apa jua terjadi sekalipun, selepas
himpunan bersih 4 ini, rakyat marhaen harus kembali bekerja dan
mengharungi rutin harian seperti biasa sementara kerajaan akan tetap
berfungsi tanpa apa-apa perubahan dalam konteks kepimpinan. Dan yang
paling penting, Barisan Nasional akan terus berkubu di Putrajaya.
Inilah realiti politik di Malaysia.
Raziq Michael adalah pembaca FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.