Keluarga,
rakan-rakan dan orang Perak mungkin paling gembira dengan perlantikan
Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru
menggantikan Muhyiddin Yassin yang dipecat pada Selasa lalu. Sejak
merdeka, inilah kali pertama pemimpin dari Perak dianugerahkan jawatan
kedua tertinggi itu dalam kerajaan.
Tentunya
juga lebih ramai yang mengharapkan beliau tidak kecundang di tengah
pendakian sebagaimana beberapa Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dan
seterusnya dapat menjadi orang Perak pertama berjaya menduduki puncak
singgahsana Seri Perdana akhirnya.
Zahid
sendiri barangkali kembang mekar hatinya ketika menerima perlantikan
tersebut, walaupun menyatakan jawatan itu lebih berupa amanah berbanding
hadiah. Perasaan dan ucapan seperti itu adalah normal kepada sesiapa
saja.
Tetapi
hakikatnya, Zahid sedang berdepan tugas paling sukar berbanding
mana-mana Timbalan Perdana Menteri sebelum ini. Jika selama ini ramai
yang melihat beliau sebagai pemimpin yang suka senyum dan ketawa,
bebanan tugas berat yang menantinya tidak mustahil membuatkannya tidak
sempat langsung mempamerkan wajah manisnya lagi.
Susunan
tugas yang menantinya bukan saja berkaitan parti dan kerajaan yang
sedang berhadapan dengan pelbagai isu, malah yang paling sukar bagi
Zahid ialah mengembalikan semula kepercayaan serta keyakinan rakyat
terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak.
Ia
pula akan berterusan sehingga pilihanraya ke 14 yang bakal menentukan
sama ada UMNO mampu kekal berkuasa atau hilang segala-galanya.
Isu
1MDB dan wang RM2.6 bilion adalah isu yang paling menghenyak Najib dan
meskipun sandaran boleh diletakkan kepada pasukan petugas khas
menanganinya, mengubah persepsi rakyat yang tidak memihak kepada UMNO
dan kerajaan adalah tugas paling utama bagi Zahid.
Ia
memburuk kerana serentak dengan pemecatan Muhyiddin, Najib juga
menyingkirkan Peguam Negara daripada jawatannya dan menggula-gulakan
empat ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC dengan jawatan
menteri dan timbalan menteri.
Sesiapa
saja, termasuk makcik Felda dan pakcik-pakcik kampung yang melepak di
kedai kopi tentunya tidak sukar memahami bahawa tindakan Najib itu
adalah semata-mata untuk menyelamatkan dirinya dan menjadikan siasatan
terhadapnya tergendala serta tertangguh jadinya.
Bagi
mereka, Muhyiddin dipecat kerana kerap menegur 1MDB dan mahukan
penjelasan mengenai wang RM2.6 bilion, Peguam Negara disingkir dan
digantikan dengan orang lain kerana sedang mengetuai pasukan petugas
khas manakala PAC pula dipecahkan berikutan sedang dalam proses
memanggil beberapa individu penting bagi mendapatkan keterangan seperti
Arul Kanda Kandasamy, Jho Low dan lain-lainnya.
Semua
perlakuan ini menjadikan Najib sebagai watak yang begitu "hitam" di
mata rakyat. Di tambah dengan pelbagai isu lain seperti GST, kos sara
hidup, hutang negara, urus tadbir kerajaan, Rosmah dan sebagainya, harus
diakui kedudukan Najib di mata rakyat sedang terperosok ke sudut paling
rendah sekarang ini.
Ucapan
dan kata-kata Najib bukan saja tidak diyakini lagi, bahkan rakyat
secara perlahan-lahan sedang menjauhinya yang dilihat semata-mata dapat
bertahan kerana kuasa masih ditangannya, tetapi bukan lagi sebagai
kepimpinannya melekat di hati rakyat. Legasinya sebagai anak Tun Razak
pula mula dijadikan perbandingan.
Sebab
itu, meskipun selepas memecat Muhyiddin dan menyusun kabinetnya,
kedudukan Najib langsung tidak menjadi lebih baik atau meningkat. Beliau
masih kecundang dalam persepi rakyat yang menolaknya.
Ini
menjadikan Zahid yang boleh dianggap berwatak "putih" kerana latar
belakang pendidikan agama dan sokongan kuat dalam UMNO yang dimilikinya,
mempunyai tugas yang jauh lebih berat dan sukar di hadapannya.
Ia
bukan saja tentang bagaimana cara dan keupayaan "putih" untuk
"memutihkan" watak "hitam" itu di mata rakyat, tetapi yang turut
dibimbangi ialah kalau-kalau "putih" turut tenggelam dengan "hitam" yang
kekal dengan onarnya yang tidak sebulu dengan kehendak rakyat.
Jauh
lebih ditakuti juga kiranya "putih" akhirnya akan bertukar menjadi
"kelabu" atau beralih kepada "putih kehitam-hitaman" dek kerana
ketidakupayaan "memutihkan" warna "hitam" itu.
Berbeza
dengan beberapa Timbalan Perdana Menteri era Tun Mahathir, meskipun
ketika itu pergolakan turut berlaku dan jawatan nombor dua itu juga
silih berganti, kelebihannya ialah watak bekas Perdana Menteri selama
itu 22 tahun itu begitu kukuh dan mantap untuk terus berhadapan dengan
rakyat.
Tun
Mahathir tetap agresif memainkan peranan utama, manakala orang nombor
duanya pula sekadar pembantu dan pelengkap saja. Kekuatannya ialah
beliau tidak dihadapkan dengan skandal wang yang bersifat peribadi.
Namun
sekarang ini, Najib dengan dakwaan berkaitan 1MDB, wang RM2.6 bilion
dalam akaunnya dan RM2 juta yang didepositkan ke akaun isterinya, tidak
saja meletakkan dakwaan itu bersifat peribadi, malah menjerunya menjadi
pasif serta seakan hilang kekuatan moral untuk menjawab dan berhadapan
dengan rakyat.
Sepertinya
sekarang ini tugas itu terletak sepenuhnya di pundak Zahid sebagai
timbalannya yang baru. Berjaya atau gagalnya Zahid melakukan tugas ini
banyak terletak kepada kekuatan jati dirinya berpegang kepada kebenaran,
meski bagaimana pahit sekalipun perkara itu kepada Najib.
Zahid,
di mata rakyat tidak boleh terlalu membela, mempertahan atau memuji
Najib sepertimana perlakuan Abdul Rahman Dahlan, Azalina Othman Said,
Ahmad Maslan atau pengampu lainnya kerana perlakuan itu seperti menggali
lubang kuburnya sendiri.
Tetapi
beliau juga tidak boleh terlalu lantang dan terbuka sebagaimana
Muhyiddin, meskipun dalam acara tertutup atau di depan ahli parti.
Rakaman video curinya pasti akan tersebab nanti. Sekaligus, pemecatan
juga bakal menunggunya kerana Najib terlihat sanggup melakukan apa saja
untuk mengekalkan kuasanya.
Dalam
masa sama, memenangi hati rakyat demi masa depan UMNO juga menjadi
tanggungjawabnya. Itulah sukarnya bila "putih"bertembung dengan "hitam",
kecuali jika "hitam" dapat ditolak ke tepi atau ditiadakan sama sekali
sebelum pilihanraya yang tidak sampai tiga tahun lagi tempohnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.