Followers

Saturday, August 22, 2015

PAS tak halang ahli sertai Bersih 4, kata naib presiden OLEH JAMILAH KAMARUDIN

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad menolak dakwaan ahli parti dihalang menyertai Bersih 4 hujung bulan ini.

PAS tidak menghalang ahlinya turun menyokong perhimpunan Bersih 4 yang dijadualkan pada 29 dan 30 Ogos ini, kata Naib Presiden Datuk Iskandar Abdul Samad.

Katanya, pihaknya tidak ada masalah membenarkan ahli parti menyertai perhimpunan 34 jam tanpa henti itu yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

"Ada tuduhan kata kita halang, itu tidak benar. Saya nak tegaskan, kita tak pernah halang ahli kita untuk turun Bersih 4," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program rumah mampu milik Selangorku di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, hari ini.

PAS dilaporkan membuat keputusan menganjurkan himpunan mereka sendiri dan tidak akan mengerahkan ahlinya menyertai himpunan Bersih 4 yang dianjurkan Bersih 2.0 itu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 9 Ogos lalu berkata, pihaknya hanya akan menghantar 3 wakil ke perhimpunan Bersih 4 kerana ia bukan dikepalai parti itu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dua wakilnya iaitu naib presiden Idris Ahmad dan Kamaruzaman Mohamad dihantar bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai himpunan tersebut.

"Sebarang arahan kepada ahli akan dikeluarkan setelah mendapat gambaran sebenar format himpunan dan tentatif program sepanjang himpunan yang akan diadakan nanti," katanya dalam satu kenyataan pada 10 Ogos. – 22 Ogos, 2015.


Posted by mountdweller

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.