Followers

Thursday, July 2, 2015

Pelaksanaan catuan air bergilir tertangguh FMT Reporters

 
ismail_kasim_span_600
Ia tidak dapat dijalankan kerana masih menunggu kelulusan kerajaan negeri Selangor untuk memberi kelulusan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesahkan gangguan bekalan air yang berlaku di Hulu Langat dan Kuala Lumpur disebabkan simpanan rizab air terawat yang sangat rendah di kawasan berkenaan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, ia memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan LRA Langat yang membekalkan air ke kawasan-kawasan khususnya Semenyih, Beranang, Kajang, Langat dan Balakong kini sedang beroperasi melebihi beban (overloading) dengan pengeluaran melebihi 20 peratus daripada kapasiti reka bentuk.

“Keadaan ini dimudaratkan lagi dengan kerosakan satu pam yang berlaku di LRA Langat pada hari Sabtu 27 Jun yang lalu dan menyebabkan loji terpaksa mengurangkan pengeluaran sebanyak 6 peratus daripada purata pengeluaran harian atau 30 Juta Liter Sehari (JLH).

“Kerosakan tersebut adalah sesuatu yang bukan di luar jangkaan memandangkan semua pam sedang beroperasi tanpa henti dan dalam masa yang sama, permintaan air meningkat disebabkan oleh cuaca panas yang melanda negara pada ketika ini,” demikian kata Pengerusi SPAN, Datuk Ismail Kasim dalam kenyataan itu.

SPAN juga mencadangkan supaya catuan air dilaksana bagi memastikan pengguna di kawasan teruk terjejas.

Melalui kaedah itu, air dibekalkan secara bergilir.

Bagaimanapun ia tidak dapat dijalankan kerana masih menunggu kelulusan untuk berbuat demikian.

Berikutan masalah yang berulang SPAN juga menggesa kerajaan negeri supaya menyegerakan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) dan Sistem Agihan Langat Dua.

Jelasnya, projek mitigasi yang sedang dilaksanakan sebelum ini hanya bersifat sementara.

“Ia (projek mitigasi) dijangka siap pada bulan Oktober 2015 yang akan meningkatkan pengagihan semula air dan seterusnya menambah bekalan air ke kawasan gangguan, tetapi ia hanya bersifat sementara,” kata kenyataan itu.

LRA dan Sistem Agihan LRA Langat 2 perlu disiapkan segera untuk memastikan bekalan air yang berterusan bagi jangka masa panjang di negeri Selangor serta Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Walaupun pembinaan loji sedang berjalan, namun sehingga kini Sistem Agihan Langat 2 masih belum bermula.

“SPAN telah menulis surat kepada tiga pihak berkuasa tempatan yang masih belum memberikan kelulusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.