Followers

Saturday, July 25, 2015

PAS Perlu Bertindak Sebelum Sokongan Melayu Dan Cina Hilang


Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar hari ini menggesa pimpinan PAS untuk memberi tumpuan dan mengawal pengundi terasnya iaitu Melayu Islam agar tidak hilang sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 di samping berusaha memulihkan kepercayaan pengundi bukan Melayu Islam khususnya pengundi Cina.

Menurut Mahfuz, ekoran krisis dalaman Pakatan Rakyat (PR) pimpinan PAS dilihat seolah-olah berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa.

“Sehingga sekarang saya masih belum nampak sesuatu telah dilakukan. Malah apa yang saya lihat ialah beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh pimpinan PAS bakal mengundang kemerosotan sokongan pengundi Islam Melayu itu sendiri.

“Respon PAS terhadap Gerakan Harapan Baru (GHB) membayangkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan PAS terhadap kemunculan gerakan tersebut.

“Kenyataan-kenyataan PAS yang mengecam GHB dan pimpinannya akan membuka ruang untuk ahli PAS memberikan respon yang baik terhadap GHB.

“Ini akan menyebabkan berlakunya kemerosotan sokongan pengundi Melayu Islam khususnya dari kalangan pimpinan dan ahli PAS daripada pelbagai peringkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, jika dilihat dari sudut kekuatan PAS sebagai Gerakan Islam, parti tersebut boleh merasakan 'syok sendiri' kerana tiada siapa lagi yang dianggap sebagai musuh dalam selimut PAS.

“Namun, dari sudut pilihan raya, PAS memerlukan sokongan dan undi daripada semua orang sama ada Islam atau pun bukan Islam,” katanya.

Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebelum ini mengumumkan penubuhan GHB yang terdiri daripada pemimpin kanan PAS yang gagal dalam pemilihan parti bulan lepas.

GHB, juga  telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai sebuah parti politik, dilihat sebagai pengganti PAS dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat sekarang selepas DAP dan PAS putus hubungan.

Rakan kongsi ketiga dalam Pakatan Rakyat ialah PKR.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.