Followers

Monday, July 13, 2015

Kumpulan progresif Pas lancar Gerakan Harapan Baru Adam Abu Bakar

 
Gerakan-Harapan_600

GHB membawa Islam yang sebenar-benarnya iaitu "rahmat untuk semua" dalam memberi pembelaan dan keadilan buat seluruh rakyat Malaysia. 

KUALA LUMPUR: Kumpulan progresif dalam Pas yang kalah teruk dalam pemilihan baru-baru ini melancarkan Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai wadah dan entiti bagi menggerakkan semula kerja sama politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

Pengerusi GHB, Mohamad Sabu menyatakan GHB akan mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan inklusif, progresif dan peduli rakyat.

Bahkan, GHB juga komited untuk membawa Islam yang sebenar-benarnya iaitu “rahmat untuk semua” dalam memberi pembelaan dan keadilan buat seluruh rakyat Malaysia.

“GHB masih lagi dalam peringkat ‘pro-term’. Sedang diusahakan di peringkat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan di peringkat GHB kita masih lagu berbincang,” katanya dalam sidang media di Vistana Hotel pada Isnin.

Mohamad turut menegaskan, barisan kepemimpinan GHB masih lagi ahli Pas.

“Kita masih lagi ahli Pas, selagi parti baru belum ditubuhkan, kita tetap menjadi ahli Pas. Takkan kita nak keluar rumah, sedangkan rumah masih belum siap, nanti kena hujan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad Sabu atau Mat Sabu menafikan bahawa penubuhan GHB adalah disebabkan kecewa dengan kekalahan pemimpin golongan progresif di dalam Pas.

“Kita tidak kecewa dengan kekalahan hari tu, sudah biasa hadapi kekalahan, tetapi kita kecewa dengan UMNO dan BN,” katanya.

Selain, GHB juga akan terus meletakkan pelaksanaan hukum hudud sebagai satu asas perjuangan.
“Hudud adalah sebahagian dalam syariat Islam. Kita perjuangkan ia dalam Parlimen dan perbincangan . Sebab kami tidak boleh pisahkan ia, itu terkandung dalam ajaran Islam,” tegasnya.

Turut hadir dalam sidang media itu juga adalah bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, dan Ahmad Awang, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Hatta Ramli, Hanipa Maidin, Dr.Dzulkefli Ahmad, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib.

Kata Mad Sabu lagi, GHB juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti politik, dan juga mana-mana NGO agar UMNO/BN dapat ditumbangkan.

“Kami sedar dengan suasana politik Malaysia. Kalau nak memerintah, mesti ada kerja sama dengan semua,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.